Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Bagi M (bukan nama sebenar), 43, yang disabitkan kesalahan menipu, hukuman penjara seolah-olah menutup seluruh harapan hidupnya.

Namun di sebalik pagar besi Penjara Pusat Kota Kinabalu, dia menemukan semula sinar, sebuah harapan yang dihidupkan melalui muzik.
“Saya dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kes saya berlaku hanya kerana mahu mencari makan.
“Bagi prospek (banduan) yang bakal bebas, program ini memberi peluang untuk memulakan semula hidup tanpa ragu-ragu,” luahnya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran ‘Street Musician Stroller – Australian Diploma In Performing Arts & Buskerthon’ di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu.
M adalah salah seorang daripada 20 prospek dewasa yang menyertai persijilan muzik tahun ini. Program Street Musician Stroller ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif ‘Rhythm of Freedom’ yang sejak 2019 telah memberi impak besar kepada prospek dan bekas prospek di seluruh Malaysia.

Peluang persijilan ini mula diterokai di Sekolah Henry Gurney Teluk Mas Melaka dan Sekolah Integriti Kota Kinabalu. Sejak itu, ia terbukti mampu memberikan impak positif terhadap bakat prospek yang boleh diangkat ke arah kerjaya dalam bidang muzik.
“Ramai yang keluar dari penjara akan jadi ‘blur’, tidak tahu mahu mula dari mana. Program ini bukan sekadar ajar teori dan instrumen, tetapi disusun sebagai persediaan khusus menghadapi pasaran busking. Ia beri kami panduan jelas, arah tuju dan keyakinan.
“Ekonomi itu penting. Jika tidak ada platform yang tepat, jenayah mungkin boleh berulang kerana desakan hidup,” kata M yang pernah menjadi pemuzik gereja dan mempunyai asas piano.
Kisah M bukan satu-satunya. AB (bukan nama sebenar), 42 tahun, yang menjalani hukuman hampir lima tahun bagi kesalahan dadah, mengakui program ini membuka peluang yang tidak pernah terjangka.
“Kalau belajar muzik di luar, kosnya sangat tinggi. Tapi di sini, kami diberi peluang mendapat diploma muzik dengan tajaan penuh. Saya bukan sahaja berpeluang belajar gitar dan piano, malah turut mendalami vokal, teknik pernafasan, dan insya-Allah akan cuba saxophone juga. Tenaga pengajar sangat membantu, memberi semangat dan keyakinan untuk kami terus belajar,” katanya.
Walaupun AB sudah tujuh kali keluar masuk penjara kerana kesalahan berulang, peluang menimba ilmu muzik kali ini memberi semangat baharu untuk mengubah haluan hidup.
“Peluang ini membuka minda saya. Kalau ada rezeki, saya mahu sambung lagi lepas bebas nanti,” katanya sambil berharap bebas daripada pengaruh dadah.
Bagi Awang (bukan nama sebenar), 37, yang kini menjalani hukuman atas kesalahan dadah berulang, dia mengakui tidak pernah menyangka akan belajar membaca not muzik di penjara.
“Dulu main gitar di kampung saja, dengan kawan-kawan. Sekarang saya tahu baca not, faham harmoni, belajar teori muzik. Masa panjang dalam penjara terisi dengan ilmu, dan itulah yang saya bawa keluar nanti,” katanya yang berharap dapat menjadi insan yang berguna dan mampu menjana ekonomi.
Harapan Yang Hidup Semula, Ahli Keluarga Syukuri Peluang
Bagi ahli keluarga prospek, program ini menjadi sinar yang tidak disangka-sangka.
“Saya sangat terkejut ada program sebegini dalam penjara. Ia beri harapan bahawa mereka ada hala tuju bila bebas nanti. Bukan semua orang di luar boleh terima bekas banduan, tapi bila mereka ada kemahiran, sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu untuk mulakan hidup,” kata Vincent, 40 tahun, adik kepada salah seorang prospek.
Bagi Jumainah, 48 tahun, sokongan masyarakat adalah penentu sama ada peluang kedua ini benar-benar berhasil.
“Saya panjatkan syukur. Semoga program ini terus dapat dana dan diteruskan. Bila mereka bebas nanti, mereka ada semangat baru, ada nilai murni yang dipupuk. Saya harap masyarakat akan terima mereka seadanya.”
Kukuhkan Pembangunan Insan
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, menegaskan usaha ini selari dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan nilai belas ihsan, keadilan sosial, dan kebersamaan dalam membina sebuah negara yang inklusif dan berperikemanusiaan.
“Apabila kita membantu seorang insan kembali ke pangkuan masyarakat, sebenarnya kita sedang menyelamatkan sebuah keluarga, mengukuhkan sebuah komuniti, dan memperteguh sebuah negara. Inilah makna sebenar pembangunan insan yang kita perjuangkan,” katanya yang merasmikan masjlis pelancaran program tersebut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa DBKK akan terus memberi sokongan demi memastikan peluang kedua itu benar-benar membuahkan hasil.
Program persijilan ini melibatkan 740 jam kredit sepanjang tempoh hukuman, dengan kerjasama tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive). Kelas diadakan terus di dalam penjara, lengkap dengan peralatan muzik yang disediakan.
Pengarah Eksekutif Distinctone Sdn Bhd (Music Hive), Datuk Dr Peter Chua berkata, fokus utama ialah membina keyakinan diri prospek supaya mereka lebih mudah berintegrasi selepas bebas. Pada masa yang sama, mereka berpeluang menjana pendapatan sebagai usahawan muzik.
“Dengan sokongan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, suasana muzik jalanan yang lebih tersusun dapat diwujudkan, bukan sahaja memberi platform ekonomi kepada peserta tetapi juga menyumbang kepada ekosistem pelancongan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Tey Hock Soon berkata Jabatan Penjara Malaysia menitikberatkan kelangsungan hidup prospek ini.
“Dengan adanya persijilan, prospek diharapkan dapat meneruskan kehidupan di luar penjara melalui bimbingan tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive) serta peluang yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengusahakan karya seni sekitar Kota Kinabalu, termasuk tarikan pelancong.
“Program ini juga memastikan prospek mendapat peluang kedua dan jauh dari kancah jenayah,” katanya.