Sindumin: Pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin disifatkan sebagai detik bersejarah dalam usaha parti mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, gabungan parti di DUN Sindumin itu merupakan antara yang pertama melancarkan jentera PRN17 GRS.
“Kita mungkin antara yang pertama melancarkan jentera ini. Matlamat kita jelas, iaitu memulakan gerakan sebagai ‘kick off’ untuk menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan ahli komponen GRS,” katanya.
Pelancaran diadakan pada Sabtu di Quang Square Sipitang membabitkan kerjasama Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ia turut dihadiri kira-kira 500 orang termasuk ahli jawatankuasa bahagian, ketua-ketua cawangan serta penyokong parti.
Hadir sama, Ketua Bahagian PBS Sindumin Angian Alai dan Ketua Bahagian STAR Sindumin Eric Suab @ Majid Boh.
Yusof berkata, pelancaran jentera itu turut menyaksikan penyerahan surat lantikan kepada 17 Ketua Daerah Mengundi (PDM) yang akan menggerakkan strategi di peringkat akar umbi.
“Mulai hari ini gerak kerja sudah disusun. Selepas ini, fokus akan diberikan kepada peringkat daerah mengundi dan strategi untuk mencapai kemenangan pada PRN kali ini,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan jentera pilihan raya yang tersusun, berdisiplin serta bijak menyusun strategi bagi memastikan kemenangan GRS di kawasan berkenaan.
“Dari pengalaman saya sebagai pengarah jentera, persiapan mesti kemas dan siap siaga. Strategi sudah ada, kini kita tunggu masa untuk melaksanakan,” katanya.
Dr. Yusof turut mengingatkan bahawa PRN kali ini adalah amat kritikal seperti yang ditekankan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kerana ia bakal menentukan hala tuju masa depan Sabah. – Chronivo