Labuan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya merampas kira-kira 400 liter petrol bersubsidi yang disembunyikan dalam sebuah van hasil operasi bersepadu Ops Tiris di sini petang semalam.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, serbuan jam 3.36 petang itu dilakukan hasil risikan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan di kawasan pesisir jeti sekitar wilayah ini.
“Sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa, pemandu van jenis Toyota Hiace dipercayai melarikan diri meninggalkan kenderaan berisi 20 bekas plastik (jerry can) berisi petrol bersubsidi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen atau permit sah dikemukakan bagi pemilikan bahan kawalan berjadual itu.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM20,820.
Tambahnya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

“KPDN Labuan akan terus menggempur aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya petrol dan diesel, demi memastikan bekalan sampai kepada pengguna yang layak,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan kepada KPDN melalui portal e-aduan, talian telefon, WhatsApp atau media sosial rasmi KPDN Labuan.- Chronivo / FOTO KPDN LABUAN