Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata demikian dalam sidang media di DUN Sabah di sini pada Khamis.
Katanya, tarikh tersebut menandakan genap lima tahun penggal semasa, sekali gus mengakhiri tempoh mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Apabila penggal berakhir, DUN akan terbubar secara automatik tanpa perlu sebarang pengisytiharan tambahan.
“Selepas itu, adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh pilihan raya baharu,” katanya.
Kadzim berkata, sebarang kekosongan kerusi yang berlaku selepas tarikh tersebut tidak lagi akan mengakibatkan pilihan raya kecil kerana DUN sudah terbubar secara automatik.
“Sekarang ini kita hanya menunggu arahan dan ketetapan SPR selepas tarikh pembubaran. Itu adalah tanggungjawab mereka,” katanya. – Chronivo