Kota Kinabalu: Golongan belia khususnya Generasi Z diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada media sosial sebagai sumber maklumat utama.
Pengerusi Smart Sabah Datuk Mohammed Razali Razi berkata, generasi muda perlu lebih bijak menilai dan mendapatkan nasihat daripada sumber yang sahih.
“Media sosial mempunyai manfaat tersendiri namun boleh mengundang risiko sekiranya digunakan tanpa kawalan dan tanpa semakan fakta.
“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidangkan di media sosial. Kita perlu bijak berfikir dan mendapatkan nasihat daripada guru, ibu bapa atau pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir sebagai panel dalam Program Tamu Suara 360° anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersama Majlis Belia Sabah (MBS) di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK) di sini, pada Rabu.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar yang berpeluang mendengar pandangan pemimpin serta membincangkan isu semasa berkaitan aspirasi belia dan cabaran era digital.
Razali berkata, tujuan utama program itu adalah untuk memberi ruang kepada pemimpin mendengar secara langsung suara generasi muda, memahami keperluan mereka, dan bertindak demi kepentingan belia.
“Apabila kita mendengar, kita akan faham. Apabila kita faham, barulah kita boleh membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak muda kita,” katanya.
Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, Razali turut mengingatkan agar golongan muda tidak mudah hanyut dengan maklumat tular, sebaliknya menilai dengan sikap kritis sebelum menerima sesuatu sebagai benar.
Dalam program sama, sumbangan sebanyak RM5,000 turut diberikan kepada sekolah melalui Pengetua, Suhaibul Kassim.
Majlis dirasmikan oleh Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan. – Chronivo