Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan Imigresen, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja tempatan bawah umur.
Pertuduhan dibacakan kepada Mohd Khairul Nizam, 21, namun tidak ada sebarang pengakuan direkodkan daripada memandangkan tertuduh memaklumkan kepada Hakim Amir Shah Amir Hassan, bahawa dia mempunyai peguam untuk mewakilinya.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Khairul didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun pada jam 9 malam pertengahan September 2024 di dalam sebuah kereta berhampiran Pejabat Pos Tuaran.
Pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa yang sama pada jam 1 tengah hari pertengahan November 2024 di sebuah rumah di sebuah kampung di Tuaran.
Bagi pertuduhan ketiga, dia sekali lagi dituduh merogol remaja tersebut pada jam 8 malam awal Disember 2024 di tepi jalan, juga di Tuaran.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memaklumkan mahkamah bahawa Mohd Khairul dijadualkan dibebaskan dari penjara Jumaat ini selepas selesai menjalani hukuman bagi kes Imigresen iaitu masuk ke Sabah tanpa pas yang sah.
Bryan membantah sebarang tawaran jaminan kerana tertuduh adalah pendatang asing tanpa izin.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang wanita berusia 31 tahun, Nurizzah Fazira Hamzah, mengaku bersalah atas kesalahan pecah amanah (CBT) melibatkan wang berjumlah RM10,100.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 3 September ini untuk pembacaan fakta kes dan hukuman.
Nurizzah, yang bekerja sebagai kerani akaun di syarikat peminjam wang berlesen Good Focus Mortgage Sdn Bhd, didakwa menggunakan wang syarikat untuk kepentingan peribadi antara 13 Jun hingga 16 Julai tahun ini di premis syarikat itu di Papar.