HomeUtamaTangkap ikan di Taman Pulau Tiga, lelaki didenda RM10,000

Tangkap ikan di Taman Pulau Tiga, lelaki didenda RM10,000

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara tujuh bulan kerana memasuki Taman Pulau Tiga tanpa kebenaran Taman-Taman Sabah untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim, menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamri Jamalul, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Jamri didakwa memasuki kawasan Taman Pulau Tiga berhampiran Kuala Penyu tanpa kebenaran bertulis daripada Lembaga, Pengarah atau Pegawai Taman antara jam 5.09 pagi hingga 6.26 pagi pada 31 Julai 2025.

Kesalahan itu dilakukan dalam kawasan warta pelan Taman Pulau Tiga dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 48(1)(p) Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) yang boleh dihukum di bawah seksyen 48 (2) Enakmen yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, Jamri meminta hukuman ringan kerana dia menganggur dan tiada pendapatan tetap.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Roslizan Sallin bersama Feldena Meldora Anthony dari Taman-Taman Sabah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat atas faktor kepentingan awam.

Roslizan berkata, kesalahan itu berlaku di kawasan Taman yang diwartakan serta dilindungi undang-undang. Taman Pulau Tiga adalah kawasan pemuliharaan alam semula jadi yang diwartakan bagi tujuan pemeliharaan biodiversiti marin dan ekosistem perairan. Tindakan menceroboh dan menangkap ikan tanpa kebenaran jelas menunjukkan pengabaian terhadap undang-undang serta fungsi kawasan ini sebagai kawasan perlindungan.

“Peralatan yang dibawa tertuduh termasuk bot, enjin, tangki minyak, pukat selam, tong ikan dan pancing jenis handline menunjukkan aktiviti itu dirancang lebih awal dan bukan dilakukan secara spontan.

“Pihak Taman-Taman Sabah menemui serta merampas lima utas pukat selam bersama hasil tangkapan ikan seberat lebih 28.2 kilogram. Ini membuktikan aktiviti menangkap ikan telah berlaku dan berpotensi merosakkan habitat marin yang sensitif.

“Kesan jangka panjang terhadap biodiversiti di kawasan itu serius dan memerlukan masa serta kos yang tinggi untuk dipulihkan,” katanya.

Roslizan menegaskan, hukuman maksimum atau hampir maksimum wajar dikenakan terhadap tertuduh sebagai mesej jelas bahawa undang-undang perlu dihormati dan kawasan perlindungan seperti Taman Pulau Tiga tidak boleh dicerobohi sewenang-wenangnya.

Terdahulu, Mahkamah mendengar bahawa semasa kejadian, pasukan penguatkuasa yang diketuai Renjer Taman Eddy Robert bersama 12 anggota penguatkuasa Taman- Taman Sabah telah menjalankan rondaan di kawasan yang diwartakan di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.

Semasa pemeriksaan, pasukan berkenaan menemui dua bot dengan empat lelaki di atasnya. Salah sebuah bot berjaya melarikan diri, manakala sebuah lagi yang membawa dua lelaki, termasuk Jamri, berjaya ditahan.

Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan menangkap ikan serta pelbagai jenis ikan seberat 28.2 kilogram yang disimpan dalam bekas. Semua barangan berkenaan telah dirampas.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular