HomeUtamaJKNS, Jabatan Pendidikan dan IPT digesa kerjasama larang penggunaan vape – James...

JKNS, Jabatan Pendidikan dan IPT digesa kerjasama larang penggunaan vape – James Ratib

Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh Forieta Diet

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta institusi pengajian tinggi (IPT) diminta memperkukuh kerjasama bagi melarang penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata langkah itu penting bagi membendung gejala penggunaan vape dalam kalangan generasi muda yang semakin membimbangkan.

“Kerjasama ini perlu bagi memastikan pelajar sekolah dan mahasiswa tidak terjebak dengan vape. Kawasan sekolah, rumah dan tempat belajar mesti dijadikan kawasan larangan,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) 2024 di Perkarangan Wisma Tun Fuad Stephens, hari ini.

James berkata, walaupun beberapa negeri di Malaysia sudah mengharamkan vape, Sabah masih belum mengambil langkah itu. Namun kawalan dan pencegahan tetap dilakukan melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah diwartakan bermula 1 Oktober 2024.

Beliau turut menjelaskan Ops PaPa dilancarkan hari ini, akan menekankan pematuhan larangan pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok serta kawalan penjualan, pembungkusan dan larangan merokok atau vape di kawasan tertentu.

“Operasi ini kita fokuskan dulu di Kota Kinabalu dan bandar-bandar besar lain untuk memantau premis jualan vape. Kita mahu pastikan peniaga patuh syarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak menjual produk terlarang,” jelasnya.

Beliau berkata, pemeriksaan rawak akan dijalankan di seluruh Sabah oleh pasukan khas diketuai Pengarah JKNS Dr Willam Gotulis dengan kerjasama polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta beberapa agensi lain.

“Kalau jual vape, kita tidak larang, tetapi mesti ikut peraturan KKM. Jangan sampai dicampur dengan kandungan terlarang. Saya juga minta kepada syarikat-syarikat vape supaya mendaftar dengan KKM agar tidak diambil tindakan. Jika mereka didapati melanggar peraturan JKNS, kita akan menyita serta mengenakan kompaun,” tegasnya.

Menyentuh mengenai pelobi industri vape yang menentang pengharaman, James berkata kerajaan tidak menghalang perniagaan selagi mereka mematuhi undang-undang.

“Ini memang industri memberi keuntungan, kerajaan pun dapat hasil cukai. Tetapi jangan salah guna premis dan jangan jual produk yang merosakkan rakyat. Kalau rakyat rosak, siapa lagi yang akan bekerja dan menyumbang kepada negara?” katanya.

Beliau menegaskan, Ops PaPa adalah langkah pencegahan yang perlu diperkukuh demi melindungi kesihatan masyarakat di Sabah.

“Ops PaPa akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh Sabah selagi vape belum diharamkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis dalam ucapannya berkongsi dapatan daripada kajian Global Adult Tobacco Survey Malaysia (GATS) 2023.

“Prevalens individu berumur 15 tahun ke atas yang merokok telah menurun daripada 23.1 peratus pada 2011 kepada 19 peratus pada 2023. Namun, penggunaan e-rokok atau vape meningkat daripada 0.8 peratus kepada 5.8 peratus. Golongan tertinggi yang menggunakan e-rokok ialah mereka berusia 15 hingga 24 tahun. Penggunaan dua-user juga meningkat daripada 0.8 peratus kepada 3.9 peratus,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak Akta 852 diwartakan, sebanyak 1,702 operasi telah dijalankan di Sabah dengan 5,567 notis dikeluarkan, termasuk 932 tindakan penguatkuasaan terhadap Orang Belum Dewasa (OBD) di bawah Seksyen 13(3) dan 17(1).

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM191,950. Angka ini menunjukkan masih ramai masyarakat yang tidak mematuhi peraturan yang termaktub dalam akta ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, James turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara penjawat awam persekutuan dan negeri dalam memastikan kelancaran pembangunan kesihatan di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Komuniti perniagaan zahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular