HomeUtamaJerayawara YSBR 2025 bermula Khamis ini

Jerayawara YSBR 2025 bermula Khamis ini

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 kembali dengan skala lebih besar apabila menjelajah seluruh negeri bermula 28 Ogos hingga 13 September ini, meliputi empat zon utama Kumpulan Yayasan Sabah (KYS).

Program turun padang tahunan ini menjadi antara inisiatif utama KYS untuk mendekati rakyat secara inklusif melalui pengisian menyeluruh yang merangkumi aspek pendidikan, pembangunan masyarakat, ekonomi, kesihatan dan kebudayaan.

Pelancaran rasmi YSBR 2025 akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor Khamis ini di Pisompuruan Square, Tambunan, sekali gus menandakan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, berkata, YSBR 2025 bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi satu usaha bersepadu membawa perubahan positif terus kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

“Jerayawara ini memberi fokus kepada pengupayaan rakyat. Melalui pengisian yang dirangka, kita mahu melahirkan masyarakat Sabah yang berdaya maju, berdikari, berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Antara pengisian utama YSBR 2025 ialah taklimat pendidikan dan peluang kerjaya oleh Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) termasuk tawaran biasiswa, dermasiswa, motivasi pelajar serta kaunter pendaftaran pelajar baharu.

Program ini turut mengetengahkan Rebat Madani KYS yang membolehkan peminjam membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran di lokasi jerayawara dengan tawaran rebat istimewa, sekali gus memudahkan urusan kewangan tanpa perlu hadir ke pejabat.

Selain itu, YSBR 2025 akan menampilkan pameran pembangunan komuniti, keusahawanan, pendidikan, latihan kemahiran, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesedaran, persembahan kebudayaan serta aktiviti santai seisi keluarga, termasuk cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.

Jerayawara ini akan menjelajah mengikut empat zon utama iaitu Zon Pedalaman Utara (ZPU); Zon Pantai Timur Utara (ZPTU); Zon Pantai Timur Selatan (ZPTS) dan Zon Pantai Barat Utara (ZPBU).

Setiap lokasi akan disesuaikan mengikut keperluan komuniti setempat melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat.

“Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Melalui jerayawara ini, kami bawakan perkhidmatan, peluang dan aspirasi terus ke komuniti. Kesejahteraan Sabah bermula dari kekuatan rakyatnya,” kata Gulamhaidar.

Orang ramai di seluruh pelusuk negeri dijemput hadir dan memanfaatkan peluang yang dibawa oleh Jerayawara YSBR 2025 di lokasi masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap usaha bersama membina masa depan Sabah yang lebih sejahtera dan mampan. – Chronivo

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular