KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sebagai komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dalam menyokong kebajikan masyarakat di negeri ini.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf dan Pengurus Kanan Sumber Manusia, Ezrie Ag Raini.
Dalam ucapannya, Japlin berkata CIS bukan sahaja komited dalam membangunkan industri pembinaan negeri, malah sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan komuniti.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu YKS melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Diyanah merakamkan penghargaan kepada CIS atas sumbangan tersebut yang akan dimanfaatkan bagi pelbagai inisiatif kebajikan di seluruh negeri.