HomePolitikEkonomi Sabah terus catat pertumbuhan positif di bawah kerajaan GRS – Roland...

Ekonomi Sabah terus catat pertumbuhan positif di bawah kerajaan GRS – Roland Chia

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah terus mencatatkan perkembangan positif secara konsisten sejak 2021, meskipun berdepan cabaran global, sekali gus menepis dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan negeri gagal mengurus ekonomi.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen berkata, prestasi itu amat berbeza dengan era pentadbiran Warisan yang menyaksikan kejatuhan mendadak dalam sejarah moden ekonomi negeri.

“Ketika Sabah diperintah Warisan (2018–2020), ekonomi negeri jatuh menjunam. Dari RM85.6 bilion pada 2019, ia merosot kepada RM77.8 bilion pada 2020 kehilangan hampir RM8 bilion dalam setahun dengan kadar kemerosotan -9.1 peratus. Itulah ‘rekod cemerlang’ Warisan yang cuba mereka sorok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Roland berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin baru-baru ini yang mendakwa kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mengurus ekonomi.

Menurut beliau, Justin hanya mengambil angka-angka remeh secara selektif untuk mengelirukan rakyat.

Jelasnya, selepas GRS mengambil alih tampuk pemerintahan, ekonomi mula pulih dengan pertumbuhan positif berterusan: 1.5 peratus pada 2021, 3.9 peratus (2022), 1.3 peratus (2023), dan 1.1 peratus (2024). Saiz ekonomi Sabah juga meningkat semula kepada RM84.3 bilion tahun lalu.

“Ini bukti jelas pemulihan berterusan sejak 2021. Dakwaan kononnya ekonomi merudum hanyalah manipulasi angka oleh pihak pembangkang,” katanya.

Beliau menegaskan, perbezaan kedudukan Sabah dalam senarai penyumbang ekonomi negara tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana perbezaannya terlalu kecil, sekitar 0.1 hingga 0.2 peratus sahaja.

“Lebih penting, ekonomi Sabah tetap tumbuh positif walaupun sedang melalui fasa penstrukturan semula di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Normal untuk pertumbuhan lebih sederhana ketika dalam fasa peralihan,” ujarnya.

Roland turut membangkitkan rekod Warisan sebelum pandemik Covid-19, apabila pertumbuhan ekonomi negeri merosot mendadak daripada 8.1 peratus pada 2017 kepada hanya 1.5 peratus (2018) dan 0.7 peratus (2019).

“Ini bukti pengurusan ekonomi Warisan sudah lemah sebelum pandemik lagi. Rakyat jangan terpedaya dengan permainan angka pembangkang,” tegasnya.

Dari aspek hasil negeri, beliau berkata Warisan hanya berjaya mengutip RM4.2 bilion pada 2019, manakala di bawah GRS hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023  rekod tertinggi dalam sejarah Sabah.

“Lebih membanggakan, rizab kewangan negeri kini mencecah RM8.6 bilion pada 2024 berbanding hanya RM3.2 bilion pada 2019 ketika Warisan. Kenaikan lebih 160 peratus ini bukti jelas tatakelola ekonomi dan fiskal di bawah GRS jauh lebih cekap,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular