HomeUtamaIhtifal KAFA Sabah 2025 perkukuh pendidikan Islam generasi muda

Ihtifal KAFA Sabah 2025 perkukuh pendidikan Islam generasi muda

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Pendidikan Islam khususnya Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menjadi benteng utama dalam memperkasa asas agama generasi muda di negeri ini.

Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag berkata, program Ihtifal KAFA bukan sekadar medan menonjolkan bakat pelajar sebaliknya simbol komitmen bersama memperkukuh pendidikan Islam secara menyeluruh dan berkualiti.

”Kita tidak boleh menafikan bahawa anak-anak kita kini sedang berhadapan dengan cabaran yang lebih besar daripada generasi terdahulu. 

“Dalam situasi ini, pendidikan Islam terutamanya pendidikan KAFA adalah salah satu benteng utama dalam memastikan asas agama diperkasa sejak kecil lagi.

”la bukan hanya pendidikan tambahan, tetapi pelengkap kepada sistem pendidikan nasional dalam membina generasi yang beriman, berakhlak dan berilmu. Inilah kekuatan kita. Kita bukan hanya mendidik dengan buku, tetapi dengan bimbingan jiwa dan nilai.

”Saya menyeru agar semua pihak terus menghargai dan menyokong usaha guru-guru KAFA dalam usaha mereka membangun modal insan yang berkebolehan di dunia dan akhirat,”  katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Juliah berkata, kejayaan program itu hasil sinergi pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, guru, ibu bapa serta masyarakat.

“Usaha ini selari dengan hala tuju Pelan Al-Falah yang diperkenalkan JAKIM sebagai kerangka pembangunan Islam negara.

”Saya ucapkan tahniah kepada guru-guru KAFA yang menjadi perintis kepada pembinaan sahsiah, akhlak dan ilmu agama anak-anak kita. Peranan mereka bukan mudah, mengajar dengan sumber yang terhad dalam suasana yang mencabar. Namun mereka kekal komited dan ikhlas,” katanya.

Sementara itu, Penyelia KAFA Beaufort, Mohd. Nasry Masih menzahirkan kesyukuran atas kejayaan pasukan Pedalaman Bawah yang dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Ihtifal KAFA 2025.

”Pertandingan melibatkan enam acara utama itu menjadi platform menyerlahkan bakat pelajar di luar bilik darjah dengan sokongan padu ibu bapa dan guru.

“Harapan kita bukan hanya mengejar kemenangan tetapi menjadikan amalan tilawah al-Quran, hafazan, penulisan jawi dan khat sebahagian daripada kehidupan seharian anak-anak KAFA,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais,  Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji Datuk Nurlaila Said.-

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular