KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menegaskan komitmennya terhadap pembangunan modal insan sebagai asas pengukuhan organisasi melalui peningkatan kemahiran, pengetahuan dan kecekapan pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, pembangunan tenaga kerja berkualiti akan memberi kesan langsung terhadap kemajuan syarikat.
“Bila anggota kerja berkembang, organisasi akan turut maju,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pada Jumaat, Sabah Electricity memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi pelaksanaan Strategic Business Leadership Program. Program selama 24 bulan itu dijadual bermula September 2025 dengan penglibatan 20 pengurus atasan Sabah Electricity.
Program tersebut memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran, literasi kewangan dan pemikiran strategik perniagaan dalam usaha melahirkan kepimpinan pengurusan yang berdaya saing dalam industri tenaga.
Selain itu, Sabah Electricity dan UMS turut meneroka kerjasama masa depan dalam pembangunan bakat, termasuk peluang pengambilan graduan UMS, serta menilai penubuhan Transformer Oil Lab dan High Voltage Lab di universiti berkenaan.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Mohd Yaakob bersama Setiausaha Syarikat, Zunaidah Osman mewakili Sabah Electricity, manakala UMS diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Kasim Mansor serta Pendaftar, Luqman Ridha Anwar.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Jait Aziz.