Kota Kinabalu: Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus mengakui berdepan kesukaran menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC berikutan ketiadaan beberapa pemain tengah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Katanya, pasukannya bermain dalam situasi serba kekurangan disebabkan pemain yang dijadikan sandaran utama tidak dapat diturunkan pada malam tadi.
“Pada malam ini (semalam) kita turun dengan serba kekurangan apabila kita lihat dalam kesebelasan utama di mana kita kehilangan beberapa ‘midfield’.
“Pertama sekali pada perlawanan lepas di mana Dean Pelekanos diberikan kad merah dan juga dua pemain utama kita Miguel Cifuentes dan Stuart Wilkin mengalami kecederaan.
“Sebab itu malam ini kita letak Daniel Ting bermain di sana sebab kita tidak ada ‘backup’ untuk bermain di posisi itu disebabkan kecederaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Situasi itu, katanya memaksa pengurusan pasukan menggantikan posisi pemain terbabit dengan pemain lain, menyebabkan corak permainan skuad Sang Badak sedikit berubah dan kurang agresif.
Justeru, Alto menyifatkan persembahan pemain Sabah dan keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar malam tadi adalah sesuatu yang wajar.
“Untuk ‘game’ perlawanan malam ini, saya rasa dengan kecederaan pemain utama adalah ‘fair’ dengan apa yang kita dapat.
“Dalam masa yang sama pada malam ini kita juga mempunyai peluang-peluang yang boleh diterjemahkan dengan jaringan gol tapi kita mensia-siakan peluang,” katanya. – Chronivo