HomeUtamaMCMC, KKM lancar projek rintis kesihatan digital di Sabah, pelaksanaan dijadualkan bermula...

MCMC, KKM lancar projek rintis kesihatan digital di Sabah, pelaksanaan dijadualkan bermula hujung tahun ini

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan projek rintis kesihatan digital di Sabah pada Julai lepas, yang melibatkan penghantaran ubat menggunakan dron dari Klinik Kesihatan Tawau ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, pelaksanaannya dijadualkan bermula pada hujung tahun ini sebagai satu langkah inovatif untuk memperluaskan akses rawatan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman.

“’Dalam projek rintis ini, Klinik Kesihatan Tawau akan dihubungkan dengan NADI di sana. Melalui inisiatif ini, kita akan membantu masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar yang menghadapi kesukaran untuk hadir sendiri ke Klinik Kesihatan bagi mendapatkan ubat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menjelaskan di Sabah terdapat 131 NADI yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat setempat melalui pelbagai program di bawah teras Kesejahteraan Kendiri, termasuk saringan kesihatan percuma dan advokasi kesihatan melalui saluran YouTube Studio Sihat.

“Kesemua NADI di Sabah juga aktif melaksanakan program kesihatan, dengan purata sebanyak 942 saringan telah dijalankan. Pada masa akan datang, pelbagai penerapan teknologi baharu bakal diperkenalkan kepada rakyat menerusi 1,099 NADI di seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, selain inisiatif di NADI, bakal dilaksanakan juga pemerkasaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar dan peningkatan kelajuan capaian internet di klinik-klinik awam sekitar Sabah.

“Semua inisiatif itu disokong integrasi data masa nyata yang meningkatkan keberkesanan pemantauan kesihatan komuniti rakyat, sekali gus membuktikan teknologi mampu menjadi penyelesaian saintifik terhadap cabaran kesihatan awam, terutama di kawasan berisiko tinggi penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Selain itu, saya difahamkan bahawa MCMC turut bekerjasama dengan KKM bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), iaitu satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika,” katanya.

Mengulas mengenai GDPM beliau berkata, GDPM diperkenalkan sejak 2023 telah menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi baharu oleh Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta meningkatkan daya saing mereka di peringkat global.

“Pada 2024, kita berjaya mendigitalkan 38,804 PMKS termasuk 2,838 klinik dan farmasi yang merupakan 19 peratus daripada populasi klinik dan farmasi di seluruh Malaysia. Lebih membanggakan, hampir keseluruhan geran bernilai RM89.6 juta daripada RM90 juta yang diperuntukkan dan disalurkan kepada MCMC telah berjaya digunakan,” katanya.

Bagi 2025, Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta. Sebanyak RM30 juta daripadanya disalurkan kepada MCMC melalui syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memperkasa PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan.

“Daripada jumlah ini, sebahagian besar akan dimanfaatkan untuk memperkukuh infrastruktur dan inovasi digital, khususnya di Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular