Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sabah FC gagal meraih kemenangan pertama di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di Stadium Likas malam ini.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak namun masih buntu mencari jaringan.
Pada minit ke-6, Kelantan hampir membuka tirai jaringan apabila percubaan pemain Mohamad Azwan bin Mohd Aripin, tinggi tersasar ke tepi gawang Sabah.
Sabah membalas serangan pada minit ke-12 menerusi tandukan pertahanan import, Gabriel Peres, menerusi sepakan percuma.
Bagaimanapun, tandukan itu tersasar ke sisi gol pasukan pelawat.
Sehingga wisel penamat separuh masa pertama, kedudukan kekal tanpa jaringan dengan kedua-dua pasukan masih mencari rentak terbaik untuk mendominasi permainan.
Tamat masa rehat, Sabah terus mengasak namun tetap buntu mencari jaringan pendahuluan.
Pada minit ke-53, Gabriel hampir membuka tirai jaringan buat skuad Badak apabila tandukannya hasil sepakan percuma hanya meluncur ke tepi gawang lawan.
Detik paling mencuri tumpuan penyokong adalah pada minit ke-86 apabila Azhad Harraz Arman berjaya menolak masuk bola ke gawang Kelantan, sekali gus menggegar sorakan lebih 6,438 penonton yang hadir.
Namun, keceriaan itu tidak bertahan lama selepas pengadil membatalkan jaringan berkenaan kerana ‘offside’.
Perlawanan tamat tanpa sebarang jaringan dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.
Sabah selepas ini akan melayan kunjungan Melaka FC pada 29 Ogos di Stadium Likas, dalam misi memburu kemenangan penting di laman sendiri. – Chronivo / FOTO MFL