Tuaran : Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) melancarkan Projek Pembangunan Tanah Sawah Terbiar di Kampung Panjut, di sini, yang dijangka membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan melalui pengusahawanan sawah padi.
Pengurus Besar LKTNS, Datuk Shaheddrul R. Joddari berkata, projek berkenaan dipilih berdasarkan permintaan masyarakat setempat yang berhasrat mengusahakan tanah sawah terbiar agar dapat menjana pendapatan berterusan.
“Bagi fasa pertama, sebanyak 25 peserta telah mengemukakan permohonan dengan jangkaan 50 ekar tanah sawah akan diusahakan.
“Pelaksanaan awal ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih ramai penduduk menyertai fasa seterusnya,” katanya ketika berucap merasmikan projek itu di sini pada Jumaat.

Shaheddrul berkata, kampung yang majoriti didiami masyarakat Dusun Lotud itu menyambut baik pelaksanaan projek ini sebagai inisiatif memanfaatkan tanah terbiar.
Katanya, projek ini dilaksanakan melalui peruntukan Rolling Plan Ke-5 (RP5) Tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang disalurkan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, komponen utama pembangunan termasuk pemulihan tanah sawah terbiar, penyediaan jentera ladang moden seperti traktor berantai, mesin jentuai dan pam air, serta kos penyelenggaraan benih, baja dan kawalan perosak.
Selain itu katanya, LKTNS turut menawarkan kadar sewaan RM300 bagi setiap ekar setiap musim, selain pesawah bakal menerima manfaat tambahan melalui Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) yang diuruskan BERNAS.
Sementara itu, Shaheddrul berkata, projek seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Papar, Tuaran dan Kota Belud sebagai perintis.
Katanya, Kampung Panjut kini menjadi lokasi terbaharu dalam rangka peluasan projek padi negeri.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja memulihkan tanah terbiar, tetapi juga selari dengan matlamat pembangunan luar bandar serta pemerkasaan komuniti setempat.
“Projek ini diyakini akan meningkatkan taraf hidup penduduk, menambah penyertaan pesawah baharu, dan akhirnya menyumbang kepada jaminan makanan negeri,” katanya. – Chronivo / FOTO SLDB