Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Rakyat diseru supaya tidak meminggirkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, sebaliknya mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela.
Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan sikap dan jati diri rakyat.
“Saya harap semua dapat mengibarkan secara sukarela dan bukan kerana dipaksa,” katanya pada sidang media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan, di sini, hari ini.
“Malah ada yang minta percuma … kita perlu ubah ini. Bendera hanya dibeli untuk setahun sekali sahaja. Jadi bukanlah terlalu membebankan. Nasihat saya mudah kibarkan bendera dengan betul dan penuh rasa hormat,” katanya.
Beliau menambah, walaupun negara tidak sempurna, semangat patriotisme tetap perlu dipupuk.
“Kita tahu negara tidak sempurna, tetapi itulah sebabnya kita perlu terus menyemai rasa cinta dan tanggungjawab. Sikap kita sedikit sebanyak menunjukkan siapa kita,” katanya.
Ketika ditanya mengenai isu kesalahan mengibarkan Jalur Gemilang yang berlaku di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, Masidi menjelaskan bahawa perkara itu tidak seharusnya diperbesarkan.
“Sebenarnya, kalau kita lihat, memang masih ada kesilapan kecil dalam pengibaran Jalur Gemilang. Tetapi saya tidak rasa ia sesuatu yang perlu dibimbangkan secara berlebihan. Kadang-kadang manusia memang buat silap. Malah di negara lain, saya masih jumpa kes di mana rakyatnya memasang bendera secara salah,” katanya.
Menurut beliau, apa yang lebih penting adalah semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu sendiri.
“Kalau ada rakyat yang silap pasang, saya lebih suka kita lihat gambaran besar sekurang-kurangnya mereka tetap mahu mengibarkan bendera. Itu yang penting. Bukan semua orang sempurna, jadi kita patut maafkan kesilapan itu dan pada masa sama, didik mereka cara yang betul,” katanya.