Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) bersalah membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus mensabitkan kesemua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Namun, pihak mahkamah menangguhkan keputusan hukuman sehingga 28 Ogos ini bagi menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh daripada pegawai kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam ringkasan alasan penghakiman, Duncan menyatakan pembelaan kesemua tertuduh hanya berbentuk penafian dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Beliau menegaskan keterangan doktor mengesahkan kecederaan mangsa dilakukan oleh ramai individu, sekali gus menolak dakwaan ia dilakukan seorang sahaja.
Insiden ini katanya, bukanlah kejadian terasing, sebaliknya ia dilakukan secara terancang dan berpanjangan dengan niat bersama, malah terbukti apabila tertuduh kedua mengetahui serta menambah buruk serangan yang dilakukan oleh 12 orang lain.
Kesemua 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa membunuh Nazmie Aizzat di bilik asrama KVLD antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili oleh peguam Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.