Oleh Sitti Nor Azizah Talata
SEMPORNA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 40 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan yang digempur di lima penempatan sekitar daerah Semporna dan Kunak.
Operasi bermula sekitar jam 12 tengah malam pada Rabu, melibatkan 40 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu serta Unit Penguatkuasaan Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil aduan awam serta risikan selama seminggu.
“Sebanyak 73 individu diperiksa yang terdiri daripada warganegara asing dan tempatan. Hasil pemeriksaan, 40 warga asing ditahan iaitu 19 lelaki, empat wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
“Mereka terdiri daripada warganegara Pakistan, Filipina dan Indonesia,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.
Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Semporna bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tiada dokumen pengenalan diri mengikut Seksyen 6(1)(c) serta tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara bersepadu bagi mengesan, menangkap dan mendakwa warga asing yang melanggar undang-undang negara, termasuk di bawah Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Setakat ini, sebanyak 19,252 individu diperiksa, dengan 3,902 tangkapan dibuat dan 6,521 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
“JIM Sabah akan terus komited menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di Malaysia,” tegasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai aktiviti PATI atau mana-mana premis yang menggaji pekerja asing tanpa izin kepada pihak berkuasa.