Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Perpustakaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan sumbangan karya daripada penulis tempatan untuk memperkayakan koleksi bahan bacaan sekali gus memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Pengarahnya, George Yih berkata, sumbangan penulis bukan sahaja menambah koleksi perpustakaan tetapi juga berperanan penting dalam mendokumentasikan kisah, budaya dan tradisi masyarakat Sabah untuk tatapan generasi akan datang.
“Dengan adanya karya-karya penulis tempatan, kita dapat menggalakkan minat membaca, bukan sahaja dalam kalangan anak muda tetapi juga semua lapisan masyarakat. Penulisan ini juga membantu memastikan generasi akan datang lebih mengenali asal-usul mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan buku oleh dua penulis tempatan, Anna Vivienne dan Kathirina Susanna Tati, di Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah di sini, hari ini.
George berkata, penulis tempatan juga perlu menyerahkan tiga naskhah karya mereka kepada perpustakaan sebagaimana diperuntukkan di bawah akta.
Selain itu, Bahagian Pembangunan Koleksi perpustakaan turut akan mempertimbangkan pembelian karya tersebut untuk dijadikan koleksi rasmi.
Katanya, Perpustakaan Negeri Sabah ketika ini mempunyai 25 cawangan di seluruh negeri serta lebih 70 perpustakaan desa, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat di kawasan luar bandar untuk turut sama mengakses karya-karya penulis tempatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua penulis berkenaan atas kesudian menyerahkan hasil karya masing-masing untuk dikongsi bersama pembaca di seluruh negeri.
Hari ini, Anna Vivienne menyerahkan dua buku dan sebuah buku daripada Kathrina. Karya tersebut adalah hasil karya terbaru mereka.
Anna Vivienne ialah seorang penulis yang menumpukan karyanya dalam genre seram dan misteri.
Berbekalkan pengalaman lebih 35 tahun sebagai wartawan, beliau mempunyai kepekaan tinggi terhadap jalan cerita dan perincian yang kini disalurkan dalam penulisan cerpen.
Perjalanan beliau ke dunia fiksyen bermula daripada cerita-cerita rakyat yang sering dikongsikan oleh kedua-dua neneknya pada waktu kecil.
Kisah tentang kampung purba, pahlawan, pemburu kepala, roh air, tanah ajaib dan kepercayaan tradisional menjadi pencetus imaginasi yang akhirnya menjadi asas karya beliau.
Dari situ, lahirlah naskhah yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga sarat dengan nilai budaya dan warisan.
Antara karya yang telah diterbitkan ialah Strange Magic and Supernatural Encounters (2019), Hauntings and Ghostly Whispers (2020), Scary Tales and Uncanny Encounters, Scary Dark Highways, Haunted Hotels and Dark Doorways, Redemption: Love and Betrayal, dan Warp: The Hauntings.
Melalui buku-buku ini, termasuk dua karya terbaharu Redemption serta Warp, beliau berharap dapat menjangkau lebih ramai pembaca khususnya generasi muda.
Sementara itu, Kathirina mula menulis sejak di bangku sekolah lagi. Sehingga kini, beliau telah menulis lebih 20 buku yang terdiri daripada buku kanak-kanak, antologi puisi dan cerpen.
Buku pertamanya berjudul Sogit, manakala karyanya yang paling laris ialah Pugai Balabak dengan cetakan mencecah 1,500 naskhah.
Selain itu, beliau pernah mengurus dan menyunting antologi dengan penyertaan penulis lain.
Kini, beberapa lagi karyanya sedang dalam proses penilaian penerbit, dengan dua daripadanya dijangka diterbitkan tahun hadapan.