Kota Kinabalu : Sukan Tahunan Malaysia-Thailand (MASTHAI) 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula pada Isnin menjadi medan mempererat hubungan dua hala serta semangat kesukanan antara kedua-dua buah negara.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Fazidah Mustapha berkata, MASTHAI bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi lambang kerjasama serantau yang menyatukan belia melalui nilai kecemerlangan, perpaduan, dan semangat kesukanan.
“Hubungan erat antara Malaysia dan Thailand bukan sahaja terjalin dalam diplomasi serta perdagangan, tetapi juga dalam pembangunan belia, pendidikan dan sukan.
“Kehadiran rakan-rakan dari Thailand membuktikan persahabatan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pembukaan sukan varsiti 2025 di sini pada Isnin.
Fazidah berkata, sukan dan pendidikan saling melengkapi dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah berdisiplin, berdaya tahan, serta berjiwa kepimpinan.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran para atlet sambil mengajak tetamu antarabangsa untuk menikmati keunikan Sabah yang dikenali sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’, dengan keindahan Gunung Kinabalu, hutan hujan tropika, serta kepelbagaian budaya dan keramahan rakyatnya.
Dalam pada itu, Fazidah turut merakamkan penghargaan kepada UMS selaku tuan rumah, jawatankuasa penganjur dan para sukarelawan atas dedikasi mereka menjayakan kejohanan bertaraf antarabangsa ini.
“Kepada semua atlet, bertanding dengan penuh integriti, Menanglah dengan rendah hati, terimalah kekalahan dengan bermaruah, dan hormatilah rakan atlet anda,” katanya.
MASTHAI 2025 dijangka bukan sahaja menyaksikan pencapaian sukan, tetapi juga akan dikenang sebagai platform mengukuhkan jaringan persahabatan, kerjasama ASEAN, serta pemerkasaan belia. – Chronivo / FOTO UMS