Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) mengingatkan orang awam dan media agar menghormati peruntukan undang-undang dalam prosiding Mahkamah Kanak-Kanak melibatkan lima remaja yang dituduh berhubung kes buli terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas melarang penerbitan atau penyebaran sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.
“Larangan ini termasuk nama, gambar, alamat, sekolah atau apa-apa maklumat lain yang boleh mendedahkan identiti mereka. Pelanggaran undang-undang ini boleh membawa kepada hukuman berat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazim berkata, walaupun media arus perdana umumnya peka terhadap peruntukan undang-undang tersebut, SLS menyedari ramai rakyat yang prihatin dan terdorong oleh semangat untuk menegakkan keadilan mungkin tanpa sedar berkongsi maklumat di media sosial.
“Kami ingin mengingatkan bahawa tindakan yang berniat baik sekali pun boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang.
“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak agar berhati-hati dan mengelakkan daripada menyebarkan sebarang bahan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengesahan Peguam Negara bahawa lima remaja akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak pada Rabu ini.
Nazim menegaskan, keperluan prosiding dijalankan secara tertutup bukan bertujuan meremehkan keseriusan pertuduhan, sebaliknya untuk memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya mengikut undang-undang.
“Bagi menjamin keadilan dalam kes Zara, termasuk prosiding inkues yang sedang berlangsung, prosesnya perlu bebas daripada sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan perjalanan kes. Menghormati proses mahkamah akan memastikan keadilan dilaksanakan dengan betul, adil dan tidak boleh dicabar,” katanya.
Beliau menambah, semua pihak termasuk orang awam, media dan pengguna media sosial perlu memberi ruang agar prosiding Mahkamah Kanak-Kanak serta inkues berjalan tanpa gangguan, supaya keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya.
Mengakui kes ini mencetuskan emosi yang kuat, Nazim berkata SLS turut menghargai keprihatinan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhan.
“Kesedaran dan kepedulian ini sangat dihormati. Namun, kekuatan yang sama harus ditunjukkan melalui disiplin, dengan menghormati maruah Mahkamah dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.