Kota Kinabalu : Masyarakat khususnya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu diminta untuk sama-sama berganding bahu dan turut serta dalam menjayakan kempen ‘My City, My Responsibility 1.0’.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, kempen yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2025 itu dilihat amat relevan dalam konteks program jiwa komuniti madani.
Katanya, kempen itu bertujuan mengajak masyarakat untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan bandar.

“Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pertandingan kutipan berat kitar semula, gotong-royong pembersihan, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna untuk anak-anak dan banyak lagi.
“Kempen ini bukan saja menyokong usaha memelihara alam sekitar bahkan turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam aspek kesihatan, pendidikan, dan pembangunan bandar yang lestari.
“Kami amat mengharapkan agar semua lapisan masyarakat, tidak kira golongan muda atau tua, aspek awam atau swasta, dapat berganding bahu menyokong dan turut serta dalam usaha murni ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jiwa @ Komuniti Madani peringkat Parlimen Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.
Christina berkata, bandaraya Kota Kinabalu akan menjadi lebih hijau, bersih dan selesa jika semua pihak mengambil berat dan bertindak bersama-sama.
“Program Jiwa Komuniti Madani ini merupakan manifestasi kepentingan penglibatan komuniti dalam memajukan kesejahteraan sosial dan perpaduan masyarakat.
“Dalam menghadapi cabaran dunia moden, kita harus bersama-sama memastikan komuniti kita terus kukuh dan maju,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan dan kesedaran adalah tonggak utama dalam membina kesejahteraan melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan Latihan.
“Kita dapat memperkasakan anggota komuniti dengan ilmu dan kemahiran yang membolehkan mereka berdaya saing, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya yakin, pelaksanaan program seperti ini akan terus diperluaskan oleh agensi kerajaan dan pihak berkepentingan supaya masyarakat lebih berilmu, bertamadun dan mampu menyumbang secara positif kepada negara kita,” katanya. – Chronivo