Kota Kinabalu: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menambah bilangan da’i di Sabah kepada 40 orang hujung bulan ini bagi memperluas program dakwah di kawasan pedalaman.
Pengarah Yadim Negeri Sabah, Mohd Tabi’in Sahri berkata ketika ini seramai 28 da’i ditempatkan di seluruh daerah dan mereka melaksanakan aktiviti termasuk Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk semua peringkat umur.
“Setiap hari mereka menjalankan aktiviti lapangan sebagai da’i. Insya-Allah hujung Ogos ini, jumlah itu akan dilengkapkan kepada 40 orang bagi memperkukuh usaha dakwah di pedalaman.
”Program utama Yadim di Sabah tahun ini termasuk siri seminar dan simposium kefahaman Madani bersama guru KAFA seluruh negeri dan seterusnya diperluaskan kepada anggota RELA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat Yadim kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
Kunjungan hormat itu turut bertujuan menyatakan hasrat YADIM kepada Yang di-Pertua Negeri untuk berkolaborasi secara lebih aktif dan bersungguh di dalam menyebarkan Islam serta menyebarkan dakwah dalam pelbagai aspek.
Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom menegaskan pendekatan sederhana menjadi asas dakwah Yadim agar mesej Islam lebih mudah difahami masyarakat berbilang kaum termasuk golongan belia.
”Pendekatan itu seiring aspirasi Malaysia Madani selain memanfaatkan medium digital seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp dalam usaha mendekatkan dakwah kepada generasi muda.
”Yadim juga menumpukan usaha memperkukuh peranan sekolah pondok dan tahfiz agar lebih tersusun serta relevan dengan arus pendidikan perdana,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Zamri Zainal Abidin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Sainuri Yahmin.