Oleh Wan Azrain Adnan
Kota Kinabalu — Salah satu punca utama isu air yang masih berlarutan di Sabah berpunca daripada kerakusan, kecuaian serta ketidakcekapan kepimpinan dan pengurusan, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.
Situasi ini menuntut reformasi menyeluruh yang melibatkan model pelaksanaan, kawal selia serta tatakelola yang lebih kukuh dan telus. Perubahan secara sedikit demi sedikit tidak akan melonjakkan mutu perkhidmatan air di Sabah dengan segera dan mampan.
Akibat kelemahan sedia ada, rakyat di bandar dan luar bandar terus berdepan bekalan air yang tidak stabil dan kualiti air yang rendah. Masalah itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian rakyat dan aktiviti perniagaan, malah turut merencatkan pembangunan ekonomi negeri.
Sebagai contoh, meskipun negara menerima pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor pusat data (data centre), Sabah masih belum memiliki satu pun pusat data kerana isu air dan elektrik yang tidak selesai. Perkara itu turut dibangkitkan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Julai lalu.
Pada Oktober 2016, negara pernah dikejutkan dengan penahanan pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta rampasan wang tunai berjumlah RM114 juta bersama pelbagai barangan mewah. Kes itu melibatkan dana projek persekutuan bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010 untuk pembinaan infrastruktur pengagihan bekalan air di Sabah.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rampasan itu merupakan yang terbesar dalam sejarah rasuah negara dan dipercayai lebih banyak wang disimpan di bank luar negara. Kes tersebut berlaku sebelum skandal 1MDB terbongkar.
Pada Disember 2016, bekas Pengarah dan Timbalan Pengarah JANS didakwa di mahkamah. Pada Februari 2022, bekas Timbalan Pengarah dilepas tanpa dibebaskan, manakala kes bekas Pengarah masih berlanjutan sehingga kini.
Lebih mengejutkan rakyat, sejumlah besar wang tunai ditemui secara terbuka – termasuk lebih RM23 juta di pejabat Pengarah berkenaan serta lebih RM21 juta di kediamannya. Malah, RM9 juta dan RM4 juta ditemui di dalam bonet dua buah kereta.
Pada Disember 2024, hakim ketika memutuskan Pengarah itu perlu membela diri menyatakan bahawa aktiviti rasuah melalui Skim Kutipan Berpusat yang beroperasi sejak 2005 hingga 2016 tidak mungkin berlaku tanpa pengetahuan dan penglibatan beliau.
Menurut keterangan saksi, skim itu melibatkan kutipan komisen 10.75 peratus daripada kontraktor dan diagihkan kepada pegawai JANS, termasuk Pengarah (2.4%), Timbalan Pengarah (1.5%), Juruukur Bahan (1.5%), Ketua Jurutera Air Operasi dan Penyelenggaraan (1.5%) serta Ketua Kewangan (0.7%).
Kerakusan itu menyebabkan kos projek meningkat mendadak dan menelan dana kerajaan yang sepatutnya boleh digunakan untuk lebih banyak projek air di Sabah. Akibatnya, rakyat terus sengsara sehingga kini.
Menurut pandangan umum, mustahil skim itu dapat beroperasi begitu lama tanpa pengetahuan pihak berkuasa di peringkat negeri dan persekutuan. Tambahan pula, ketika memberi keterangan di mahkamah pada Jun 2025, bekas Pengarah terbabit mendakwa hanya RM3 juta daripada wang tunai yang dirampas adalah miliknya, manakala selebihnya milik pihak lain. Dakwaan itu menimbulkan persoalan baharu mengenai pemilik sebenar wang berkenaan.
Walaupun keterangan tersebut menguatkan spekulasi bahawa lebih ramai individu berprofil tinggi terlibat, ia kekal sebagai persepsi kerana tiada pihak lain didakwa setakat ini.
Apa yang jelas, skandal rasuah JANS tidak boleh berulang dan mesti menjadi pengajaran dalam sejarah. Skandal itu telah merompak kesejahteraan rakyat serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi Sabah hingga hari ini.
Sehubungan itu, industri air negeri perlu dirombak sepenuhnya dengan penubuhan badan kawal selia bebas, manakala JANS bertindak sebagai pelaksana. Langkah ini diyakini mampu memastikan pengurusan lebih telus, cekap dan berkesan.
Namun, sebarang peraturan dan teknologi baharu tidak akan berjaya tanpa modal insan yang bersih, cekap dan amanah.
“The weakest link is always the human,” demikian rumusan yang harus diinsafi.