Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Sebutan inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dijangka berlangsung esok di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata prosiding itu dijadualkan pada jam 9 pagi, namun Koroner yang akan mendengar prosiding itu masih belum dipastikan.
Hamid mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) cawangan Sabah, hari ini.
Sebelum ini, AGC memaklumkan prosiding inkues akan dijalankan bagi menyiasat kematian Zara yang mendapat perhatian seluruh negara.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan penuh siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12 Ogos lalu.
Menurut kenyataan AGC, inkues tersebut akan dijalankan selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], bagi menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah.
Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 1.07 petang keesokan harinya.
Kes Zara telah mencetuskan gelombang solidariti masyarakat, dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, aktivis, dan badan bukan kerajaan mendesak siasatan menyeluruh demi keadilan.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/13/inkues-kematian-zara-qairina-akan-dijalankan-jabatan-peguam-negara/