Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Ogos bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, rujukan semula itu dibuat selepas tindakan siasatan tambahan dilaksanakan oleh Pasukan Khas (Task Force) jabatan berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak 195 keterangan saksi telah diambil di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Ia melibatkan pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta beberapa saksi material lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan memberi fokus kepada dua aspek penting iaitu siasatan dari aspek inkues dan siasatan dari aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu.
Sehubungan itu, PDRM menyeru masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
“PDRM memberi jaminan bahawa proses siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya. – Chronivo / FOTO PDRM