Sipiting : Masyarakat di daerah ini khususnya golongan muda diseru untuk merebut peluang pekerjaan dan keusahawanan yang wujud hasil pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, pertambahan tenaga kerja di SOGIP bukan sahaja membuka ruang kepada graduan tempatan untuk bekerja, malah perlu dimanfaatkan bagi membangunkan perusahaan sendiri.
“Graduan jangan hanya bergantung kepada kerja makan gaji. Selain bekerja, mereka boleh memilih untuk berniaga dan menjadi usahawan,” katanya pada Bengkel Pemetaan Kerjaya dalam Industri SOGIP, di sini pada Sabtu.
Bengkel sehari itu anjuran bersama Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) dan Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang.
Hadir sama, Timbalan Presiden PAADIAN yang juga Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya Datuk Ramlee Kariah.
Dr Yusof berkata, dengan peningkatan permintaan makanan di kawasan berkenaan, ia membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat dalam sektor pertanian seperti penanaman lada dan sayur-sayuran, selain menyediakan perkhidmatan penginapan dan homestay.
Katanya, peluang yang wujud ini harus direbut oleh anak muda tempatan agar tidak dimanfaatkan oleh pihak luar.
“Peluang ada di hadapan kita. Jangan biarkan orang luar yang merebutnya. Anak muda Sipitang mesti berani mencuba dan terlibat sama dalam pertanian, perniagaan serta industri sokongan SOGIP,” katanya. – Chronivo