Kota Kinabalu : Lebih 1,500 orang hadir mengimarahkan Majlis Tahlil, Bacaan Doa dan Yasin bagi memperingati Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13.
Majlis yang dianjurkan atas inisiatif Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Razali Razi.
Bacaan yasin yang bermula jam 4 petang itu diketuai Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim dan tahlil serta doa dibacakan Pengerusi Biro Agama Gagasan Rakyat Datuk Azman Ruslan.

Razali ketika ditemui berkata, majlis berkonsepkan doa kesyukuran itu dilihat sebagai satu usaha membawa keberkatan serta meningkatkan penghayatan rohani, selaras dengan ajaran Islam.
“Kita mengambil pendekatan yang berbeza, majlis ini bukan sahaja sebagai tanda ingatan kepada Allahyarhamah, tetapi juga sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, memohon rahmat dan keberkatan,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, Ketua Menteri Sabah turut menyampaikan pesanan agar majlis berjalan lancar dan memberi manfaat.
Katanya, Ketua Menteri turut menggalakkan orang ramai untuk bersama membaca Yasin dan mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah. – Chronivo