HomeUtamaRISEAP perkukuh kepimpinan, pemerkasaan komuniti muslim minoriti di Asia Tenggara

RISEAP perkukuh kepimpinan, pemerkasaan komuniti muslim minoriti di Asia Tenggara

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu : Pertubuhan Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) memainkan peranan penting dalam gerakan dakwah dipelbagai peringkat bagi memastikan suara komuniti minoriti didengar dan dihormati dalam ummah global.

Premier Sarawak yang juga Presiden RISEAP Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertubuhan itu juga berhasrat untuk membina komuniti minoriti Muslim yang berdaya tahan, berilmu dan bersatu di Asia Tenggara dan Pasifik.

Katanya, RISEAP turut menggalakkan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti Baitulmal dan Wakaf, yang berperanan penting menangani kemiskinan, menyokong aktiviti dakwah dan memastikan pembangunan komuniti mampan. 

“RISEAP menggesa organisasi ahli menghidupkan semula Baitulmal dan Wakaf sebagai alat strategik pemerkasaan ekonomi, khususnya di negara-negara minoriti Muslim.

“Salah satu keutamaan RISEAP adalah pembangunan kepimpinan, terutamanya dalam kalangan belia dan da’i, bagi mengukuhkan ummah dan kelestarian kerja-kerja Islam. 

“Melalui kerjasama strategik, program latihan antarabangsa dan inisiatif pembinaan kapasiti, RISEAP membekalkan pengetahuan, nilai dan kemahiran untuk memimpin dengan integriti, tujuan dan prinsip Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah;  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.

Abang Johari berkata, dalam menghadapi dunia digital yang pantas berubah, RISEAP dan seluruh organisasinya mesti bersedia untuk transformasi identiti dan pendekatan.

Katanya, semua pihak perlu memanfaatkan teknologi baharu seperti pendakwahan digital dan kesiapsiagaan AI agar umat Islam tidak ketinggalan.

“RISEAP membayangkan masa depan di mana nilai Islam diperkukuh melalui teknologi pintar, pendakwah yang celik digital dan identiti Islam yang kukuh dalam era digital.

“Pendidikan menjadi salah satu fokus RISEAP dengan menggalakkan organisasi ahli membangunkan kandungan pendidikan Islam dan dakwah yang sesuai dengan konteks masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, program itu adalah manifestasi komitmen pihaknya untuk membentuk generasi baharu pemimpin dan da’i Muslim. 

Katanya, ia mencerminkan visi dan legasi RISEAP yang sejak sekian lama memperjuangkan perpaduan, pemerkasaan dan pengukuhan identiti Islam di kalangan minoriti Muslim di ASEAN, Asia Tenggara dan Pasifik.

“Di RISEAP, salah satu objektif utama ialah memupuk hubungan antara komuniti dan menunjukkan kesediaan umat Islam bekerjasama dengan masyarakat lain demi kemajuan bersama. 

“Program ini harus kita manfaatkan sebagai platform perkenalan dan interaksi sesama aktivis NGO Islam dan kumpulan agama,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular