HomeUtamaPemimpin belia pemangkin perubahan masa depan - Hajiji

Pemimpin belia pemangkin perubahan masa depan – Hajiji

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu: Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa akan menjadi langkah penting dalam membentuk pemimpin belia sebagai pemangkin perubahan untuk membentuk masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dunia kini memerlukan idea, tenaga, dan visi para pemimpin belia.

Katanya,  cabaran yang dihadapi dalam masyarakat menuntut perspektif baharu dan tindakan berani.

“Saya yakin setiap daripada anda mempunyai kekuatan serta pandangan unik yang akan menyumbang kepada perbincangan sepanjang beberapa hari ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya. 

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Hadir sama Premier Sarawak yang juga Presiden Pertubuhan Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.

Hajiji berkata, pihaknya mahu melihat belia terus bangkit menghadapi cabaran kepimpinan dan penting untuk mengiktiraf dan memupuk potensi mereka. 

“Menggalakkan golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam inisiatif komuniti dan latihan kepimpinan adalah penting bagi melahirkan generasi baharu yang bersedia menangani kerumitan dunia moden,” katanya.

Program yang melibatkan pemimpin belia dari lebih 12 buah negara Asia Tenggara dan Pasifik ini dianjurkan oleh RISEAP dengan kerjasama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk NGO di Sabah. 

Dalam pada itu, Hajiji  berharap latihan kepimpinan itu akan meningkatkan kemahiran kepimpinan pemimpin belia, memupuk kerjasama, dan menyediakan peluang untuk terlibat dalam perbincangan yang bermakna, serta belajar daripada pengalaman masing-masing. 

“Ingatlah, kepimpinan bukan hanya tentang memegang jawatan berkuasa; ia tentang pengaruh, tanggungjawab, dan khidmat kepada orang lain. Keluar dari zon selesa anda, terima idea baharu, dan libatkan diri secara aktif dengan rakan sebaya. 

“Bina hubungan dan kongsi kisah anda. Mulakan perjalanan pembelajaran, pertumbuhan, dan inspirasi ini. Sekali lagi, selamat datang, dan jadikanlah latihan ini sebagai pengalaman yang benar-benar memberi perubahan,” katanya. 

Beliau yakin dengan latihan dan bimbingan yang disediakan oleh RISEAP, para peserta akan dapat muncul sebagai sumber manusia yang berkemampuan dan berwibawa seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Malaysia Madani, serta selaras dengan keperluan pembangunan modal insan di bawah agenda Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. 

“Saya percaya para mentor yang disediakan oleh RISEAP dalam menganjurkan latihan ini akan dapat mencapai objektif yang diinginkan,” katanya. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada RISEAP di bawah pimpinan Premier Sarawak,  Tan Sri (Dr)  Abdul Rahman Zohari Tun Openg kerana memilih Sabah sebagai tuan rumah Program Latihan Belia Antarabangsa ini. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular