Kota Kinabalu : Sambutan Hari Sabah 2025 yang akan diadakan pada 31 Ogos ini akan menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman sejarah negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, sambutan pada tahun ini akan menampilkan pameran sejarah, seminar serta bahan bacaan khas bagi memberi peluang kepada orang ramai memahami perjalanan Sabah menuju kemerdekaan.
“Pada tahun ini, acara akan berlangsung selama dua hari bermula 30 Ogos di Padang Merdeka. Pameran tahun ini lebih lengkap berbanding sebelum ini yang mana kita sediakan buku-buku, dokumen dan bahan visual sejarah agar masyarakat, khususnya anak muda, lebih mengenali sejarah negeri.
“Selain pameran, seminar khas akan diadakan membincangkan peristiwa penting, tokoh negeri serta perkembangan Sabah dari aspek politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi rakaman Dokumentari Hari Sabah dan rancangan Kami Bah Ini (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi (KBKK) di sini, pada Jumaat.
Jeffrey berkata, sambutan ini turut dimeriahkan dengan Larian Hari Sabah yang menghimpunkan peserta dari semua daerah yang mana semua peserta akan berkumpul di Padang Merdeka dengan membawa bendera Sabah sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan pada hari kemuncak nanti.
“Dianggarkan penyertaan larian sahaja boleh mencecah lebih 4,000 peserta dari pelbagai daerah manakala jumlah keseluruhan pengunjung sepanjang sambutan dijangka tidak kurang 10,000 orang,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey berkata, pengisian lain termasuk pertandingan sukan di setiap daerah, gerai makanan tradisi dan konsert yang menampilkan artis tempatan dan persembahan lagu-lagu patriotik.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2025 berkata, kelainan sambutan pada tahun ini adalah lebih penekanan kepada aspek sejarah dan pendidikan.
“Hari Sabah ini bukan saja diraikan tetapi dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah supaya anak-anak kita mengenali identiti negeri sejak di bangku sekolah.
“Saya menyeru juga untuk anak-anak muda kalau boleh, ciptakan lagu-lagu yang berjurus kepada Hari Sabah dan Hari Kemerdekaan Sabah,” katanya.
Jeffrey turut berharap agar sambutan berkenaan bukan sahaja menjadi acara tahunan yang meriah tetapi juga medan memperkukuh warisan sejarah dan membina semangat patriotisme rakyat Sabah.-