Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Ujian saringan talasemia bagi bakal pengantin masih belum diwajibkan dan kini berada pada peringkat perbincangan antara pihak berkuasa berkaitan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, ketika ini hanya ujian saringan HIV diwajibkan kepada semua pasangan sebelum melangsungkan perkahwinan.
“Buat masa ini, talasemia belum menjadi syarat wajib. Tiada tempoh atau tarikh pelaksanaan ditetapkan.
“Ini kerana ia masih dibincangkan di peringkat pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Pelancaran Sistem Permohonan Kebenaran Berkahwin Atas Talian (eKahwin) dan Sistem Pembayaran Melalui Platform FPX di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Terdahulu, ketika berucap Jumain berkata, sistem eKahwin yang diperkenalkan itu membolehkan kehadiran secara fizikal hanya diperlukan bagi kes atau isu-isu yang memerlukan siasatan lanjut oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’.
“Contohnya keraguan dalam menetapkan wali, status nasab pemohon perempuan, isu berkaitan dokumen pengenalan diri, dan lain-lain kes khas yang memerlukan pengesahan lanjut.
“Permohonan kebenaran untuk berkahwin secara atas talian hanya akan diproses setelah semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dilengkapkan. Permohonan tersebut akan disemak oleh Pendaftar Penyemak dan seterusnya diluluskan oleh Pendaftar Pelulus.
“Setelah kelulusan diberikan, pemohon menjelaskan fi yang telah ditetapkan dan kebenaran berkahwin akan diberikan kepada pihak lelaki dan pihak perempuan. Manakala juru nikah juga ditetapkan bagi memastikan akad nikah dilaksanakan mengikut hukum syarak.,” katanya.
Menurutnya, dengan wujudnya sistem ini, urusan perkahwinan dapat diuruskan dengan lebih berintergriti, teratur dan sistematik. – Chronivo