Lahad Datu : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya melumpuhkan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) bernilai RM476,000 menerusi Operasi Bersepadu di dua lokasi berasingan, sekitar Jalan POIC dan sebuah ladang persendirian di Jalan Segama Lama, di sini.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, hasil maklumat awam, pihaknya merampas 74 metrik tan CPO, dua lori serta pelbagai peralatan mengepam minyak yang digunakan dalam aktiviti haram itu.
“Dalam operasi tersebut, dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an ditahan kerana disyaki terlibat secara langsung. Mereka disiasat di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan ESSCOM dalam membanteras jenayah dan aktiviti haram di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Katanya, ia termasuklah penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta penyelewengan sumber hasil negara yang boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan ekonomi tempatan.
Menurutnya, operasi berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM, yang memperkasa operasi sedia ada bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi seumpama ini di daerah-daerah dalam ESS Zone bagi membendung jenayah rentas sempadan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ancaman keselamatan di ESS Zone diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di 011-63311072. – Chronivo / FOTO ESSCOM