Oleh Wan Azrain Adnan
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara wajar dirasionalisasi bagi memperkasa kualiti pendidikan, meningkatkan prestasi pencapaian serta melonjakkan kedudukan setara dengan IPT terkemuka serantau dan global.
Tiga minggu lalu, laporan QS Best Student Cities Rankings 2026 meletakkan Kuala Lumpur di kedudukan ke-12 terbaik daripada 150 bandar di seluruh dunia, melonjak 11 tangga. Ini merupakan kali pertama Kuala Lumpur berada dalam kelompok 20 terbaik sejak ranking itu diperkenalkan pada 2014. Ketika pertama kali tersenarai pada 2016, Kuala Lumpur berada di tempat ke-53.
Sementara itu, Shah Alam berada di tempat ke-144, menurun 21 tangga. Hanya Kuala Lumpur dan Shah Alam dari Malaysia yang tersenarai dalam ranking tersebut, yang merangkumi bandar dengan sekurang-kurangnya dua universiti tersenarai dalam QS World University Rankings dan populasi sekurang-kurangnya 250,000 orang.
Penilaian dibuat menerusi tinjauan dalam kalangan calon dan lepasan pelajar, meliputi enam kategori iaitu kebolehinginan, kemampuan, campuran pelajar, aktiviti majikan, ranking universiti dan suara pelajar.
Di Asia, Kuala Lumpur merupakan bandar keempat terbaik selepas Seoul (pertama), Tokyo (kedua) dan Singapura (ke-11). Bandar Asia lain yang tersenarai ialah Beijing (ke-13), Taipei (ke-14) dan Hong Kong (ke-17).
Peningkatan kedudukan Kuala Lumpur itu disifatkan membanggakan dan memperkukuh usaha kerajaan menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi unggul, yang turut menarik lebih ramai pelajar antarabangsa. Menurut Statistik Pendidikan Tinggi 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam meningkat lebih 25 peratus daripada 15,664 pada 2023 kepada 19,731 pada 2024, dengan majoriti dari China dan Indonesia.
Selain itu, beberapa IPT antarabangsa telah menubuhkan kampus di Malaysia, antaranya Heriot-Watt University, University of Nottingham, University of Reading, University of Southampton, Monash University, Swinburne University of Technology dan Xiamen University.
Bagaimanapun, kedudukan universiti awam negara dalam QS World University Rankings 2026 yang diterbitkan Jun lalu masih rendah, dengan Universiti Malaya di tempat ke-58, UKM (126), UPM (134), USM (134), UTM (153), UUM (491), UiTM (542) dan UIAM (613). Sebagai perbandingan, Singapura memiliki dua universiti dalam kelompok 15 terbaik dunia iaitu National University of Singapore (ke-8) dan Nanyang Technological University (ke-12).
Malaysia kini mempunyai hampir 550 IPT awam dan swasta, termasuk 20 universiti awam, 36 politeknik dan 105 kolej komuniti, selain IPT di bawah kementerian lain dan kerajaan negeri seperti UniKL, UCAM, Kolej FELCRA, PERDA-TECH, UKKM, UIS, UCMI dan UniSHAMS.
Bagi melonjakkan prestasi IPT kerajaan, agenda rasionalisasi perlu dipercepatkan, termasuk pengukuhan kewangan dan saiz organisasi. Ketika ini, IPT awam bergantung sehingga 90 peratus kepada dana kerajaan, manakala 48 peratus pelajar IPT swasta menerima pembiayaan PTPTN.
Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), KPT menetapkan kemampanan kewangan IPT sebagai keutamaan, dengan sasaran kerajaan hanya menyalurkan sehingga 60 peratus dana kepada universiti awam menjelang 2025.
Namun, Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 menunjukkan beberapa universiti awam berdepan kerugian, antaranya UiTM (RM212 juta), UMS (RM141 juta) dan UPM (RM128 juta), manakala UMS, UPM dan USIM mencatat kerugian tertinggi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM708.45 juta.
Fenomena ini turut berlaku di luar negara. Di England, Office for Students (OfS) melaporkan sehingga 72 peratus universiti dijangka menghadapi defisit kewangan pada 2025/2026. Salah satu langkah utama mencapai kemampanan ialah skala ekonomi melalui penggabungan IPT.
Contoh penggabungan berjaya termasuk Adelaide University di Australia hasil gabungan University of South Australia dan University of Adelaide pada Januari 2025, serta University of Manchester di United Kingdom pada 2004, yang kini berada di tangga ke-35 dunia.
Di Malaysia, penggabungan UniSZA dan UMT pernah dicadangkan pada 2019 tetapi dibatalkan pada Mei 2020 selepas bantahan pelbagai pihak. Kedua-dua universiti kini berada pada ranking rendah iaitu UMT di kedudukan 801–850 dan UniSZA di 1400+.
QS World University Rankings 2026 turut menunjukkan UMT dan UniSZA memperoleh skor rendah dalam reputasi akademik dan reputasi majikan, jauh ketinggalan berbanding Universiti Malaya.
Kejayaan konsolidasi sektor perbankan tempatan pada 1990-an dan awal 2000-an membuktikan manfaat skala ekonomi dalam mengukuhkan daya saing.
Sehubungan itu, di bawah RMK-13, kerajaan persekutuan dan negeri disaran meneliti semula cadangan penggabungan IPT bagi mengukuhkan keupayaan sektor pendidikan tinggi negara, sebelum institusi berdepan krisis kewangan yang serius.