Kota Kinabalu : Sebanyak 1,247 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat induk Negeri Sabah yang berlangsung di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Saifuddin dalam sidang media berkata, perkara 15A merangkumi permohonan warganegara bagi anak tidak sah taraf, kanak-kanak di pusat jagaan, serta anak kepada ibu bapa yang bukan warganegara.
“Jawatankuasa ini diwujudkan bagi mempercepatkan proses membuat keputusan terhadap permohonan tersebut, dan hari ini kita telah memuktamadkan keputusan untuk 1,247 permohonan yang dibawa ke mesyuarat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) 2025 di sini.
Saifuddin berkata, jawatankuasa berkenaan berfungsi sama seperti mekanisme yang telah dilaksanakan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Katanya, mesyuarat yang dijalankan itu merupakan mesyuarat pertama bagi Sabah.
Menurutnya, keputusan tersebut akan diperakukan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – Chronivo