Kota Kinabalu : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menggariskan pelan strategik lima tahun bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan Sabah Timur, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan masa depan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, perancangan itu dibahagikan kepada dua fasa utama, iaitu Fasa Pengukuhan yang bermula pada tahun 2024 hingga 2028.
Katanya, fasa ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur kawalan keselamatan seperti pemasangan kamera jarak jauh (long-range cameras), pembinaan pos kawalan, pembinaan jeti baharu dan peningkatan keupayaan rondaan.
“Memasuki tahun 2029 dan seterusnya, Fasa Pemerkasaan akan dilaksanakan dengan menambah baik aset sedia ada, meningkatkan latihan perisikan, serta memanfaatkan teknologi terkini seperti radar, dron dan sistem pengawasan pintar.
“Kami menyahut dasar Menteri Dalam Negeri iaitu penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). ‘AI for KDN, KDN for AI’ menjadi pegangan memastikan setiap keputusan keselamatan dibuat pantas berasaskan data yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri wawancara menerusi rancangan TV1 RTM – Selamat Pagi Malaysia di sini pada Rabu.
Victor berkata, penggunaan AI akan membolehkan ESSCOM membuat analisis segera terhadap maklumat yang dikumpul, sekali gus meminimumkan risiko dan meningkatkan keberkesanan tindakan di lapangan.
Selain perancangan jangka panjang, ESSCOM juga kini memberi tumpuan kepada persiapan Pilihan Raya Negeri akan datang, khususnya di 34 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Sabah Timur dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – Chronivo / FOTO ESSCOM