Kuala Lumpur : Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, akan dijalankan secara telus, terperinci, dan tanpa sebarang perlindungan pihak tertentu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata , beliau kini menjadi jurucakap rasmi bagi semua perkembangan kes ini selepas mengambil alih jawatan pada 8 Ogos lalu.
Katanya, kejadian berlaku pada 16 Julai lalu apabila polis menerima laporan kematian mengejut daripada seorang guru di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Dato’ Mustafa, Papar.
Menurutnya, mangsa berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
“Dapatan awal pasukan khas (Task Force) Bukit Aman yang ditubuhkan pada 11 Ogos mendapati terdapat ketidakpatuhan prosedur siasatan kerana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan bedah siasat. Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan ketua bahagiannya.
“Namun terdapat permohonan daripada ibu mangsa untuk tidak menjalankan bedah siasat, yang direkodkan secara bertulis dan ditandatangani ibu mangsa, doktor, pakar patologi serta pegawai penyiasat.
“Bedah siasat akhirnya dijalankan pada 10 Ogos melibatkan tiga doktor dari Hospital Serdang dan Hospital Queen Elizabeth, yang mengesahkan punca kematian sama seperti diagnosis awal,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Menurutnya lagi, satu mesyuarat bersama pelbagai agensi memutuskan inkues perlu dijalankan bagi merungkai punca sebenar dan kejadian sebelum mangsa terjatuh.
Tambahnya, selain inkues, pasukan khas turut menjalankan siasatan selari ke arah kemungkinan unsur jenayah.
“Polis juga mengesan penyebaran berita palsu, termasuk dakwaan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh. Setakat ini, 15 kertas siasatan dibuka dan seorang wanita berumur 39 tahun ditahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Undang-undang baharu, Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, digunakan bagi kesalahan buli dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Bagi membantu pelajar yang terkesan secara emosi, pegawai D11 telah menjalankan intervensi psikologi melibatkan 124 pelajar asrama bagi memulihkan keyakinan mereka.
“Polis turut mengambil langkah intervensi melibatkan pegawai D11 untuk membantu pelajar yang mengalami trauma di sekolah tersebut. Seramai 124 pelajar telah menjalani proses intervensi menggunakan pendekatan psikologi bagi mengembalikan keyakinan mereka.
“Saya memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara telus dan terperinci serta tiada perlindungan (cover up). Tiada penglibatan VVIP seperti yang ditularkan.
“Penyiasatan kini menjurus kepada dua hala tuju utama iaitu inkues bagi menentukan fakta kejadian dan siasatan jenayah termasuk elemen buli.
“Segala perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa. Saya mohon ruang untuk siasatan diselesaikan demi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya. – Chronivo