Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkna, turut ditempatkan di JPN Sabah adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan.
Menurut KPM, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina.
KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat. – Chronivo