Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kembara Merdeka Jalur Gemilan 2025 anjuran Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sabah terus menyemarakkan semangat patriotisme rakyat negeri ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, program seumpama itu amat bermakna setiap kali tiba bulan Ogos kerana ia menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
“Konvoi Kembara Jalur Gemilang ini menjelajah dari satu daerah ke satu daerah untuk menyemai rasa bangga dan sayang kepada tanahair. Saya berharap semua lapisan masyarakat dapat mengambil iktibar, memperbaharui tekad serta terus mendukung usaha kerajaan demi kesejahteraan negara dan negeri.
“Paling penting masyarakat diminta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Oleh itu, saya mengajak pemimpin masyarakat dan penjawat awam agar menjadi penyampai maklumat tepat agar dapat mempertahankan nama baik kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilan 2025 peringkat daerah Tawau di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau, yang turut dihadiri Pengarah Japen Sabah, Jainisah Mohd Noor.
NIzam menambah, budaya mengibarkan Jalur Gemilang harus dijadikan amalan seperti rakyat negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang menyambut hari kemerdekaan mereka dengan penuh semangat patriotisme.
“Kalau kita benar-benar anak Malaysia, kita harus mengenepikan perkara remeh dan menunjukkan rasa cinta kepada negara melalui tindakan, termasuk menaikkan bendera,” ujarnya.
Sementara itu, Janisah berkata, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 melibatkan 75 lokasi singgahan di seluruh Sabah, termasuk kampung, kawasan pinggir bandar dan pulau-pulau.
“Sejajar tema Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, kami cuba mendekati seramai mungkin masyarakat di semua pelusuk negeri,” katanya.
Menurut beliau, konvoi tahun ini disertai lebih 15 agensi termasuk pasukan beruniform, dengan purata 20 kenderaan di setiap destinasi.
Katanya, tahun ini merupakan kali kedua Sabah meraikan sambutan berganda iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos, yang disusuli dengan Hari Malaysia pada 16 September.