HomeUtamaPM Lancar ILMU – Model Bahasa Besar Multimodal Pertama Malaysia oleh YTL...

PM Lancar ILMU – Model Bahasa Besar Multimodal Pertama Malaysia oleh YTL AI Labs

Read Time:2 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan ILMU oleh YTL AI Labs, model bahasa besar multimodal (LLM) pertama di Malaysia, pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025.

Dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya, ILMU — singkatan bagi Intelek Luhur Malaysia Untukmu — merupakan lonjakan besar dalam aspirasi kecerdasan buatan (AI) negara, menggabungkan keupayaan pemprosesan teks, suara dan imej dengan kefahaman budaya dan bahasa tempatan setanding piawaian global.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata ILMU adalah inovasi yang mencerminkan visi negara untuk masa depan yang digerakkan oleh teknologi, keterangkuman dan relevansi budaya.

“Dibina oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, ILMU membuktikan kemampuan kita membangunkan infrastruktur AI bertaraf dunia sambil mengekalkan identiti linguistik dan budaya negara. Ini bukan sekadar teknologi, tetapi langkah memperkasa rakyat, perniagaan dan negara dalam era digital,” katanya.

Antara kelebihan ILMU ialah kefasihan dalam Bahasa Melayu, bahasa rojak (Manglish) dan dialek tempatan seperti Kelantan; dibangunkan dengan mengambil kira keselamatan, kedaulatan data dan kepentingan negara; dihoskan pada YTL AI Cloud bagi prestasi bertaraf perusahaan serta pematuhan residensi data tempatan; dan mencapai prestasi setanding model global seperti GPT-4o dan Llama 3.1.

ILMU mencatat markah tertinggi dalam ujian kefahaman Bahasa Melayu (MalayMMLU), menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Llama 3.1 dalam penilaian penyelesaian masalah praktikal (Arena Hard Auto), dan setara GPT-4o dalam ujian pematuhan arahan kompleks (IFEval).

Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, berkata ILMU merupakan komitmen YTL terhadap inovasi berasaskan warisan budaya dan intelektual Malaysia.

“ILMU bukan sahaja kemajuan teknologi, malah keupayaan negara untuk membina sistem pintar, memacu produktiviti dan memastikan kemajuan yang inklusif,” katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan, YTL AI Labs turut mengumumkan Program Pemecut AI ILMU dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), terbuka kepada syarikat pemula (startup), PKS dan penyedia penyelesaian global. Peserta layak akan menerima Status Malaysia Digital (MD) beserta manfaatnya, fasilitasi pas bakat, permit kerja dan visa, selain kredit API ILMU bernilai RM5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata ILMU telah digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pembantu maya, pendidikan dan kesihatan, serta kini dibuka untuk akses API kepada pembangun, syarikat pemula dan perusahaan.

Antara rakan industri awal ILMU ialah Aco Tech, Ryt Bank, Astro, Media Prima, Yes, Carsome, Swipey, Vision Machina, Vistel, TeeniAI, TrustAI dan Mesolitica.

Versi pengguna ILMUchat akan dibuka untuk akses awal sempena Hari Malaysia pada 16 September 2025, dan orang ramai boleh mendaftar minat di https://www.ilmu.ai/.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular