Tambunan: Generasi muda dan remaja pada masa ini mempunyai banyak pilihan untuk mempertahankan budaya warisan antaranya melalui tarian tradisional.
Kumpulan Loyuk Osundu Dance yang terdiri enam orang gadis berusia 16 sehingga 18 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan mempunyai minat terhadap tarian-tarian tradisional.

Pengurus kumpulan Agnes Francis berkata, kumpulan tarian ini sudah bergiat aktif semenjak berusia 6 tahun dan kekal sehingga kini.
“Kumpulan ini pernah mengikuti beberapa pertandingan tarian di luar Tambunan antaranya yang terbaru International Youth Folk Dance Festival di Penampang dan mendapat tempat keempat.
“Mereka juga sering dipanggil untuk membuat persembahan dalam acara di sekolah serta beberapa majlis sekitar Tambunan dan kawasan-kawasan yang berhampiran.
“Selain tarian tradisional, mereka juga mempelajari tarian-tarian moden bagi memvariasikan lagi seni tari mereka” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas anak didiknya membuat persembahan sambut tamu dalam Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Balai Raya Kampung Kapayan Lama.
Katanya, usaha mendidik mereka bermula dari kecil amat penting agar pendedahan awal dapat diberikan.
Selaku ketua kumpulan, Elly Sandra Sammy, 18, minat terhadap seni tarian terutamanya tarian tradisional bermula dari kecil lagi dan secara kebetulan terdapat tenaga pengajar yang dapat melatih.
“Kami akan berlatih sekurang-kurangnya tiga kali seminggu manakala persembahan terpulang atas permintaan daripada penganjur,” katanya.
Antara anggota lain menganggotai kumpulan ini adalah Azreen, Feon, Sherly, Anna dan Sherica.