HomeUtamaADUN Sindumin mahu siasatan telus kes kematian Zara Qairina

ADUN Sindumin mahu siasatan telus kes kematian Zara Qairina

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dan profesional berhubung kes kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13.

Katanya, kes membabitkan pelajar itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Beliau dalam kenyataan media hari ini menegaskan bahawa siasatan perlu dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan sama ada wujud unsur jenayah dalam insiden tersebut atau sebaliknya.

“Saya meminta supaya pihak berwajib, khususnya polis melakukan siasatan penuh dan profesional. Kita mahu keadilan ditegakkan dan kebenaran didedahkan,” katanya.

Yusof turut menggesa pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, serta Kementerian Pendidikan untuk menjalankan siasatan dalaman berkaitan pematuhan SOP kerja, aspek disiplin, serta keselamatan di sekolah dan asrama yang terlibat.

“Kita perlu tahu sejauh mana pematuhan SOP oleh pihak sekolah dan asrama. Ini bukan soal kecuaian kecil, tetapi soal nyawa dan kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pendidikan kita,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak membuat sebarang andaian atau menuduh mana-mana pihak, termasuk dakwaan yang tular di media sosial kononnya melibatkan anak seorang VVIP.

Namun, selepas dua minggu tanpa sebarang kenyataan rasmi atau hasil siasatan, beliau memahami keresahan masyarakat dan kebangkitan suara rakyat yang kini bersatu menerusi pelbagai platform dengan tuntutan “Justice for Zara”.

“Apabila tiada maklumat rasmi selama dua minggu, maka tidak hairan NGO dan warganet mula bersuara. Sekarang, laungan ‘Justice for Zara’ tidak akan berhenti sehingga ada jawapan dan tindakan yang sewajarnya,” katanya..

Kes kematian Zara Qairina menjadi tular di media sosial sejak awal Ogos, dengan pelbagai dakwaan dan spekulasi beredar termasuk kemungkinan wujudnya campur tangan pihak berpengaruh.

Yusof turut menegaskan bahawa keadilan bukan hanya untuk keluarga Zara, tetapi juga untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan dan pendidikan negara. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular