Kota Kinabalu : Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dilaporkan akan berlaku di beberapa kawasan di Sabah pagi ini sehingga jam 12 tengah hari nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kemaskini di Facebook memaklumkan antara kawasan terlibat adalah di Pedalaman; Pantai Barat; Tawau dan Kudat termasuk Labuan.
“Antara kawasan dijangka akan mengalami hujan adalah di Pedalaman melibatkan Kuala Penyu Beaufort sertai Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.
“Turut dilaporkan mengalami cuaca sama adalah di Tawau dan Kudat termasuk Labuan sehingga jam 12 tengah hari pada Selasa,” menurut kenyataan itu di sini.
Selain Sabah, beberapa kawasan lain di Sarawak turut mengalami cuaca sama.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – Chronivo