HomeUtamaKrisis Tenaga: Komitmen Sabah menuju Menuju Masa Depan Lestari

Krisis Tenaga: Komitmen Sabah menuju Menuju Masa Depan Lestari

Read Time:3 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu ; Sejak sekian lama, rakyat dan sektor industri di Sabah masih bergelut dengan isu tenaga. Gangguan bekalan elektrik dan kapasiti simpanan tenaga yang rendah ditambah dengan kebergantungan tinggi terhadap bahan api fosil antara cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Sabah untuk menangani isu tenaga ini. 

Hal ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Negeri Sabah (IDS), Dr. Ramzah Dambul, menuntut pendekatan strategik dan holistik, memandangkan tenaga merupakan asas kepada pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan daya tarikan pelabur.

Sabah masih antara negeri yang paling banyak berdepan dengan masalah tenaga. Isu bekalan terputus dan ketidakcukupan ini menuntut bukan sekadar penyelesaian segera tetapi harus juga secara jangka panjang katanya ketika ditemui Chronivo baru-baru ini.

Sejumlah 86% dari penjanaan tenaga di Sabah menurut beliau, masih bergantung kepada gas asli.  Namun begitu, meskipun bergantung kepada sumber itu, ironinya rizab margin tenaga negeri hanya sekitar 17.6%, jauh di bawah paras selamat, iaitu  30%.

Justeru, beliau menyatakan bahawa Sabah sedang berusaha untuk membina ekosistem baharu melalui strategi jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Kita belum cukup dari segi kapasiti. Walaupun bergantung pada tenaga konvensional, kita masih tidak mampu menjana secukupnya. Jadi itu antara cabaran paling besar,” ujar Ramzah.

PENDEKATAN STRATEGIK DAN PELAN SE-RAMP 2040

Ditanya mengenai pendekatan strategik kerajaan Sabah dalam menjamin keselamatan tenaga jangka panjang, ujar Ramzah bahawa keselamatan tenaga dalam konteks ini merujuk kepada kebolehpercayaan bekalan, kemampuan, dan kelestarian jangka panjang.

“Kerajaan telah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah sehingga tahun 2040, atau dikenali sebagai SE-RAMP 2040. Ia adalah pelan komprehensif merangkumi 16 strategi utama bagi memastikan bekalan tenaga di Sabah. Ianya mestilah boleh dipercayai, mampu milik, mudah diakses dan juga mampan.

Ia juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu kebolehcapaian dan kemampuan tenaga, yang bermaksud tenaga mesti mampu dinikmati semua lapisan masyarakat serta keselamatan tenaga jangka panjang, di mana ianya bukan hanya untuk keperluan sementara, tetapi untuk generasi masa depan”.

Tambahnya, Sabah kini masih bergelut dengan isu bekalan tenaga, termasuk gangguan elektrik yang kerap. Oleh itu, SE-RAMP 2040  adalah satu langkah jjangka panjang negeri Sabah untuk menjamin kecukupan tenaga yang konsisten.

Untuk melaksanakan pelan ini, kerajaan juga telah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS), yang berperanan sebagai pengawal selia tenaga elektrik dan gas di negeri ini.

STRATEGI GAS DAN PERMINTAAN TENAGA YANG MENINGKAT

Berkenaan penggunaan gas di Sabah,  Ramzah memaklumkan, Sabah telah melancarkan Strategi Gas Sabah. Ia bertujuan untuk menjamin bekalan gas domestik yang mencukupi. Hal Ini penting memandangkan negeri ini kini beralih kepada ekonomi berasaskan industri hiliran, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada komoditi dan perkhidmatan.

“Permintaan tenaga elektrik di Sabah meningkat pada kadar 4.8% setahun. Ia didorong oleh pertumbuhan pesat sektor industri, yang dijangka menyumbang 35% daripada KDNK negeri menjelang 2030, serta peningkatan penggunaan di sektor kediaman. Untuk memenuhi permintaan ini, loji-loji baharu dan unit sewaan sementara seperti di Kimanis telah diaktifkan. ”

Kerajaan kini turut meletakkan sasaran margin rizab tenaga melebihi 25% menjelang suku ketiga 2025 serta pelaburan dalam infrastruktur tenaga bersih dipercepat, termasuk pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 100MW di Lahad Datu, yang beroperasi Julai 2025.

PELABURAN STRATEGIK DAN KERJASAMA GLOBAL

Usaha membina sistem tenaga mampan turut melibatkan kerjasama erat dengan sektor swasta dan pemain industri antarabangsa yang memiliki kepakaran serta teknologi hijau.

Antara nama besar yang telah menjalin kerjasama strategik dengan Sabah termasuk SK Nexilis, pengeluar bahan berasaskan tembaga untuk bateri, dan Kibing Solar, peneraju dalam pengeluaran kaca solar dan bahan silikon.

Pelaburan syarikat-syarikat ini bukan sahaja mempercepat pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui, malah turut mengukuhkan rantaian bekalan industri hijau tempatan.

Loji pembuatan di KKIP dan Sikuati juga dijangka membuka peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknologi bersih.

Dalam masa yang sama, Ramzah menekankan cabaran  berterusan untuk mencapai sasaran 2040 dan 2050.

“Sabah perlu menyesuaikan diri dengan trend global, di mana pelabur semakin menitikberatkan amalan kelestarian dan penggunaan tenaga bersih sebagai syarat pelaburan, di mana kita tidak boleh terlepas arus ini.”

KOMITMEN MENUJU MASA DEPAN LESTARI

Kerajaan negeri turut mengakui bahawa kejayaan peralihan tenaga memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur, dasar yang progresif serta kerjasama rentas sektor, termasuk penyertaan aktif komuniti dan pengguna. Namun, untuk mencapai visi tenaga mampan, cabaran tetap besar, kata Dr. Ramzah lagi.

“Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus ini. Semua ini memerlukan perubahan besar, iaitu dari segi dasar, infrastruktur, pelaburan, dan kesediaan sumber tenaga.

Sedangkan pada masa ini, kebergantungan kita kepada tenaga konvensional masih terlalu tinggi. Dan itu adalah cabaran paling besar yang mesti kita hadapi dan atasi dengan segera.”

Namun, segala perancangan hanya akan berhasil jika disusuli pelaksanaan yang konsisten, kerjasama merentas agensi, dan sokongan politik yang teguh.

“Kita sudah letakkan asas. Sekarang adalah masa untuk mempercepat pelaksanaan. Sabah tidak boleh terus ketinggalan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular