HomeUtamaFestival Budaya Malindo erat hubungan dua negara serumpun

Festival Budaya Malindo erat hubungan dua negara serumpun

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Festival Budaya Malindo yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau semalam menjadi bukti kukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia terus terjalin erat, meskipun berdepan pelbagai cabaran geopolitik.

Program yang dianjurkan oleh kerjasama Permata Tijara, Dharma Wanita Persatuan Republik Indonesia Tawau, dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMP) dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur. Ini satu usaha luar biasa kerana berjaya menghimpunkan kerjasama antara masyarakat bukan pemerintah dalam penganjuran acara seni yang bermakna,” katanya kepada media selepas merasmikan festival tersebut di Dewan Masyarakat Tawau, malam tadi.

Tambah beliau, penganjuran festival ini selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk memperkasakan budaya masyarakat majmuk Sabah serta menjadikan Tawau sebagai pusat kebudayaan yang aktif.

Datuk Nizam turut menegaskan bahawa usaha seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti budaya tetapi juga berperanan sebagai ejen perpaduan dua negara, Malaysia dan Indonesia, walaupun terdapat isu seperti Laut Sulawesi yang pernah menimbulkan ketegangan.

“Isu seperti itu tidak seharusnya merenggangkan hubungan dua negara serumpun ini. Sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Malaysia dan Indonesia sentiasa berkongsi hubungan dalam aspek budaya, perdagangan, dan persaudaraan.

“Program sebegini membantu merealisasikan hasrat untuk merapatkan rakyat melalui kebudayaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Konsul Republik Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo turut menyifatkan festival ini sebagai satu bentuk kerjasama rakyat yang patut dicontohi dan dikembangkan lagi di masa hadapan.

“Inisiatif ini sangat luar biasa kerana digerakkan oleh masyarakat sendiri. Minggu lalu kita saksikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau, dan malam ini pula pertukaran budaya Malindo. Ini menunjukkan komitmen masyarakat untuk saling memahami dan menghormati budaya masing-masing,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, aktiviti kebudayaan seperti ini bukan sahaja memperkukuh silaturrahim antara penduduk Sabah dan Kalimantan, malah membantu mengurangkan kesan isu-isu politik yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.

“Kami berharap program ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti antara kedua negara, termasuk melalui mekanisme seperti Sosek Malindo yang telah sekian lama menjadi jambatan kerjasama pelbagai sektor,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

15 saintis UMS tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular