Sook: Masyarakat perlu mengelak daripada terpengaruh dengan beberapa dakyah yang boleh menggugatkan perpaduan antara Sabah dan Semenanjung.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata setiap tindakan yang diambil perlu menuju kepada perpaduan bukannya perpecahan.
Katanya, perpaduan amat penting untuk dipelihara bagi memastikan negara terus maju dan harmoni dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang.

“Bila dilihat keadaan geopolitik dunia termasuk di rantau ASEAN yang berdepan ketidakstabilan, oleh itu kita mesti bersatu padu dan berusaha memastikan perpaduan di dalam negara kita terus terpelihara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini Malaysia perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakan-rakan serantau sebagai negara yang berdaulat dan yang menunjukkan perpaduan yang sangat tinggi” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) bagi Daerah Sook di Kampung Kapayan Baru.
Mengulas lanjut berkenaan program KMJG, Arthur mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia Negeri Sabah atas kesudian memilih Kampung Kapayan di Daerah Sook sebagai lokasi flag off.
“Program sebegini dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan kepada semua lapisan masyarakat di samping menyatupadukan masyarakat setempat tidak kira mereka berada di bandar ataupun di kawasan kampung-kampung di luar bandar.
“Bagi kita mengekalkan kemajuan dan juga keharmonian yang kita telah menikmati selama ini penglibatan anak-anak muda amat penting sebagai kesinambungan daripada perjuangan untuk memantapkan lagi negara” katanya.
Dalam majlis itu, Arthur melepaskan benih ikan ke Sungai Pegalan sebagai inisiatif bagi memelihara alam sekitar dan kazanah yang diwarisi selama ini.
“Maka perlu ada usaha seperti yang kita lakukan hari ini untuk memastikan bahawa alam sekitar kita akan sentiasa mampan untuk generasi-generasi yang akan datang” katanya.
Pada penghujung majlis, Arthur turut menandatangani buku catatan KMJG seterusnya melakukan pelepasan konvoi menuju ke destinasi seterusnya.