HomeUtamaTujuh anak yatim piatu terima perhatian Kerajaan Sabah

Tujuh anak yatim piatu terima perhatian Kerajaan Sabah

Read Time:1 Minute, 58 Second

Putatan : Tujuh orang anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini mendapat perhatian Kerajaan negeri melalui beberapa agensi.

Antaranya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bersama agensi terlibat petang tadi meluangkan masa mengadakan lawatan ziarah ke kediaman keluarga terbabit di Kampung Ulu di sini bagi menyantuni anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka.

Arifin berkata, empat dari tujuh beradik itu kini telah bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara dan selebihnya masih boleh memasuki alam persekolahan.

“Saya difahamkan empat anak ini telah bersekolah, seorang di Prasekolah, seorang di Tahun 1, seorang di Tahun 5, dan seorang lagi di Tahun 6. Tiga lagi masih belum memasuki alam persekolahan.

“Mereka kini diselaraskan pembelajaran dan kebajikan oleh pihak sekolah tempat mereka menuntut.  Kita sangat prihatin dan memberi perhatian kepada anak-anak ini dan telah berbincang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah.

“Antara yang kita akan lakukan secara terdekat ialah pihak MUIS akan menyalurkan bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM400 untuk menyokong keperluan asas anak-anak ini, selain sumbangan segera sebanyak RM1,000 daripada bahagian Zakat dan Fitrah MUIS.

“Sementara itu, PBNS turut menyumbangkan RM500 kepada setiap anak, yang akan dikendalikan oleh penjaga sah mereka,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, TPNS menyatakan komitmen untuk berbincang dengan pihak sekolah dan PIBG bagi menyusun bentuk bantuan pendidikan yang sesuai, termasuk sokongan jangka panjang sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Katanya, usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan dokumen penting berkaitan anak-anak ini agar segala bantuan dapat disalurkan dengan lebih lancar dan menyeluruh.

“Kita tidak akan meminggirkan mereka. Ini bukan sahaja tentang bantuan segera, tetapi komitmen untuk membimbing mereka sepanjang laluan pendidikan mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar mana-mana pelajar lain yang senasib turut dikenalpasti dan diberikan bantuan sewajarnya.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) juga akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah untuk mengenalpasti mana-mana anak yatim atau yatim piatu di seluruh negeri yang mungkin terlepas pandang agar mereka juga diberi bantuan pendidikan yang diperlukan.

“Inilah komitmen kita terhadap pendidikan anak-anak di Sabah, terutama mereka yang kurang bernasib baik. Kita akan bantu sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular