HomeUtamaPemeliharaan warisan budaya etnik Sabah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri 

Pemeliharaan warisan budaya etnik Sabah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri 

Read Time:2 Minute, 40 Second

Tuaran: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menganjurkan aktiviti bertujuan memelihara warisan budaya pelbagai etnik di Sabah, asalkan ia tidak bertindih dengan program-program serupa anjuran Kerajaan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran program seni dan budaya seperti Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah mampu mengangkat khazanah budaya negeri ke tahap yang lebih tinggi sekali gus menaikkan imej negeri di persada dunia. 

Katanya, program seumpama ini juga merupakan pengukuh silaturrahim dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Selaras dengan tema festival ini, ‘Budaya Tradisi Teras Perpaduan Malaysia Madani’, adalah menjadi tanggungjawab Persatuan Rumpun Bajausamah untuk mengangkat agenda perpaduan sebagai teras perjuangan kerana matlamat sebenar kita dalam memartabatkan budaya bangsa ialah mencipta keharmonian dan mengekalkan perpaduan. 

“Sejak turun-temurun dan sejak berabad-abad lamanya, penduduk di negeri ini telah mengamalkan budaya hidup hormat menghormati, bekerjasama dan saling bantu membantu tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Lok Batik, di sini pada Ahad.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin. 

Hajiji berkata, semangat kekitaan dan saling bertoleransi dikalangan penduduk di negeri ini telah membentuk masyarakat Sabah dengan identiti yang unik dan memikat. 

“Dengan 35 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik yang wujud dalam komuniti Sabah menjadikan masyarakat kita ini sedemikian rencam dan benar-benar majmuk dalam konteks Malaysia. 

“Pun demikian, rakyat Sabah kekal hidup harmoni dengan semangat perpaduan yang tinggi sesuai dengan slogan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji berkata, terdapat banyak manfaat dan hikmah dalam kehidupan yang harmoni dan bersatu padu, sama ada dalam keluarga, organisasi, persatuan, komuniti atau negara. 

“Hanya dengan perpaduan sahajalah kita akan menjadi kuat, dihormati dan disegani. Jika kita berpecah belah, bercerai-berai kita akan menjadi lemah dan mudah dikuasai oleh orang lain yang ingin menguasai atau menjajah kita. 

“Sesungguhnya, kesatuan dan kekuatan itu adalah kunci kepada kejayaan dan kemajuan kita,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata, dalam konteks Persatuan Rumpun Bajausamah,  persatuan ini juga bercita-cita untuk menjadi seperti persatuan kebudayaan atau etnik lain yang berperanan sebagai penjaga dan pemelihara adat tradisi bangsa, sekaligus memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat. 

“Jika gerakan yang mulia ini dapat dikekalkan dan terus diperhebatkan, insya-Allah, Sabah akan dapat kita bangunkan bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal tetapi juga sebagai sebuah negeri yang kaya dengan nilai adat dan budaya masyarakatnya,” katanya. 

Beliau yakin bahawa melalui penganjuran festival seperti ini, dengan pelbagai acara yang disusunatur, termasuk pertandingan tarian tradisional seperti Limbai dan Runsai, pertandingan nyanyian Bintang Soromas, dan pertandingan Betitik, bakat baharu dalam setiap bidang dapat dicungkil dan seterusnya memelihara warisan budaya. 

Sementara itu, acara kemuncak seperti pertandingan Ratu Serimpak bukan sahaja menjadi tarikan utama festival, tetapi juga menyerlahkan mutu seni tenunan dan motif etnik Bajau yang ditampilkan dalam busana para peserta. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Tun Musa atas sokongan beliau dalam penubuhan Persatuan Rumpun Bajausamah 12 tahun lalu dan pembangunan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Lok Batik bermula pada tahun 2017 semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular